MELAKA, 14 Mei (Bernama) -- Seorang pegawai Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima rasuah.
Mohd Zairey Yahya, 42, didakwa menggunakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu iaitu Sijil Perakuan Kesempurnaan bagi projek berkaitan kerja-kerja pembekalan dan alatan pertanian iaitu anak benih lengkuas sebanyak sembilan tan metrik bernilai RM44,550, namun kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.
Tertuduh yang ketika itu merupakan pengurus besar di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Ledang, Tangkak, Johor didakwa melakukan kesalahan tersebut antara Januari dan Mac 2020 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zairey yang kini bertugas di ibu pejabat LPP dituduh menerima suapan berupa wang tunai bernilai RM20,000 daripada Ismail Yaacub, 42, sebagai balasan yang mana tertuduh ketahui ada hubungan dengan tugas rasmi beliau telah memperakukan berkaitan kerja-kerja pembersihan, penyediaan kawasan dan infrastruktur ladang bagi projek tanaman lengkuas.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di parkir kereta Medan Selera Pekan Selandar dalam daerah Jasin pada 5 Mac 2021 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tempoh dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu peguam Datuk Haniff Hassan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membatalkan pertuduhan pertama atas alasan terdapat kecacatan pada pertuduhan itu kerana tidak dinyatakan secara spesifik tempat kesalahan dilakukan, memandangkan butiran tersebut adalah mandatori untuk dinyatakan dalam setiap pertuduhan.
Beliau juga memohon jaminan antara RM10,000 hingga RM15,000 memandangkan tertuduh telah hadir di pejabat SPRM sejak semalam dan isterinya yang bertindak sebagai penjamin, tidak dapat menyediakan wang jaminan yang tinggi dalam tempoh singkat.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali membantah permohonan itu atas alasan butiran dalam pertuduhan adalah mencukupi dan tertuduh memahami pertuduhan ke atasnya.
Beliau juga mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM30,000 berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Seremban sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan bantahan pihak pendakwaan dan menetapkan tertuduh dijamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan tersebut.
Mahkamah menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial