SHAH ALAM, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri sedang melaksanakan penyelarasan awal dan tindakan segera di kawasan tanah runtuh di Jalan Sungai Lalang, Semenyih bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan sekitar.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata pemakluman awal notis penutupan jalan, juga dinaikkan pada persimpangan menghala ke lokasi kejadian.
Beliau berkata pihaknya menerusi Jawatankuasa Kemajuan Infrastruktur negeri bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), turut mengenal pasti beberapa cadangan tindakan awal yang boleh dilaksanakan di kawasan itu, antaranya membuka laluan alternatif sementara merentasi kawasan tanah persendirian berdekatan.
“Selain itu, operator lori sampah MPKJ turut menawarkan untuk pembinaan pembentung sementara di laluan tersebut dan perkara berkenaan juga sedang diteliti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Izham berkata sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, Izham menerusi hantaran itu berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian tanah runtuh di kawasan itu sehingga menyebabkan jalan terputus dari kedua-dua arah, petang tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial