AM

Icu Jpm Lulus Rm780,000 Dana Sejati Madani Di Perak

13/05/2024 08:22 PM

TAPAH, 13 Mei (Bernama) -- Unit Penyelerasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) meluluskan peruntukan RM780,000 melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), kepada sembilan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Perak terus mencatatkan sebagai negeri yang tertinggi dari aspek penjanaan ID Komuniti pengguna Sistem MySejaTi MADANI, iaitu sebanyak 276 komuniti setakat 8 Mei.

“Perak juga muncul sebagai negeri pertama yang diluluskan dana di bawah program SejaTi MADANI, melalui siri pertama Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan dan Kelulusan (JPK) SejaTi MADANI pada 6 dan 26 April.

“Saya turut dimaklumkan setakat ini secara keseluruhannya ICU JPM telah menerima 86 permohonan daripada Perak bagi merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti, bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2024, di Dewan Merdeka Tapah di sini hari ini.

Sembilan komuniti yang berjaya melibatkan JPKK Kampung Batu 8; Bagan Pasir Laut; Kampung Pong; Kampung Kuak Luar; Kampung Piandang Siputeh; Kampung Tanjung Ara; Kampung Bandar; Kampung Serkai Jadi/Kurnia dan Kampung Kuak Hulu. 

SejaTi MADANI merupakan satu bentuk program bantuan kerajaan yang bertujuan untuk mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi yang dilancarkan 25 Mac lalu. 

Terdapat lima sektor yang menjadi tumpuan dalam program SejaTi MADANI iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan