AM

Pertandingan Pidato Rukun Negara Sasar 3,500 Penyertaan

13/05/2024 08:00 PM

MELAKA, 13 Mei (Bernama) -- Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka 2024 pada 12 Sept depan menyasarkan kira-kira 3,500 penyertaan dengan hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM33,000.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata lima kategori dipertandingkan pada pidato berkenaan iaitu awam, sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan bukan Melayu.

Beliau berkata pendaftaran bagi penyertaan mula dibuka hari ini hingga 26 Julai dan proses penghantaran video pidato juga adalah dalam tempoh berkenaan.

"Saringan pertama pertandingan itu akan berlangsung pada 5 hingga 9 Ogos manakala separuh akhir pada 19 hingga 23 Ogos, diikuti pertandingan akhir yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh pada 12 Sept.

"Kita sasarkan penyertaan kali ini mencecah 3,500 orang memandangkan pada tahun lepas penyertaan yang diterima adalah sebanyak 3,041 orang, sekali gus diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai 'Largest Participants in Pidato Competition’," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) Prof Madya Dr Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.

Ngwe berkata penganjuran pertandingan itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Perpaduan Negara yang menawarkan anugerah khas iaitu Pemidato Terbaik Piala Menteri Perpaduan.

Beliau berkata pertandingan anjuran bersama Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka dan kerajaan negeri melalui ITP itu juga menawarkan dua lagi anugerah khas iaitu bagi kategori Persembahan Terbaik dan Anugerah Khas Juri.

"Lima peserta bagi setiap kategori akan dipilih ke peringkat akhir dan selain hadiah wang tunai, pemenang juga akan menerima piala iringan, buku serta sijil penyertaan dan setiap kategori akan mempunyai lima pemenang iaitu johan, naib johan, ketiga dan sagu hati (dua orang)," katanya.

Beliau berkata penganjuran pertandingan pidato berkenaan bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat dan generasi muda supaya lebih memahami erti Rukun Negara sebagai asas perpaduan dan jati diri keluarga Malaysia selain menyemai dan meningkatkan kefahaman rakyat tentang perkara yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara.

Menurut Ngwe ia juga merupakan platform memperkasakan agenda Malaysia MADANI seperti yang dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan