BAGAN DATUK, 12 Mei (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti pimpinannya itu kian kukuh, di sebalik pelbagai tohmahan dilontarkan pihak tertentu ketika awal UMNO menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata keahlian UMNO kian bulan bertambah, selain tiada satupun daripada lebih 21,000 cawangannya dibubarkan setakat ini.
“Dari segi keahlian, ia semakin bertambah biarpun kita lakukan pemutihan, di Sabah misalnya saya diberitahu umpamanya ada 2,500 sehingga 5,000 permohonan (sertai UMNO) setiap bulan, dan tidak ada satu pun cawangan (UMNO) yang lebih 21,000 itu terbubar malah setiap cawangan mesti ada pertambahan ahli,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan-cawangan Empat Peringkat Dalam Bahagian Bagan Datuk 2024, di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata sebagai parti yang telah wujud selama 78 tahun, parti itu diyakini mampu menjadi parti utama semula, dengan menyasarkan peningkatan jumlah kerusi Parlimen diperolehi parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, berbanding 26 kerusi sekarang.
“Oleh kerana PRU akan berlaku tiga tahun setengah daripada sekarang, biarlah kita menyusun jentera parti dan memperkukuhkan penyatuan dalam kalangan ahli di semua peringkat agar kekuatan UMNO dapat dibina semula,” katanya.
Mengenai undi Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata bilangan undi Melayu ada peningkatan, sekali gus memperlihatkan kematangan golongan itu membuat pilihan.
“Pengundi telah matang, dan ada pertambahan pengundi Melayu, ini perkembangan yang baik, walaupun dimomokkan dengan sentimen UMDAP, namun mereka terima hakikat Kerajaan Perpaduan jauh lebih baik untuk kestabilan politik di negara ini,” katanya.
Mengenai kemungkinan PRK tujuh kerusi Bersatu melibatkan wakil rakyat yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid berkata perkara itu akan dibincang bersama pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan, jika ia berlaku.
Beliau berkata kerusi asal enam Parlimen itu sebelum ini ialah milik BN dan parti itu berhasrat untuk bertanding di kawasan tersebut jika PRK menjadi kenyataan, namun akan turut dibincangkan bersama Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, pada majlis berasingan di lokasi sama, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyantuni 56 bakal jemaah haji dari Parlimen itu, dalam Majlis Santunan Kasih Duyufurrahman 1445H Parlimen Bagan Datuk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial