DUNIA

FBM KLCI DITUTUP TIDAK BERUBAH, KEKAL DI ATAS PARAS 1,600

10/05/2024 07:05 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Penunjuk pasaran Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), ditutup rendah sedikit hari ini namun masih kekal di atas paras utama 1,600 bagi hari keempat berturut-turut susulan kenaikan baru-baru ini, kata seorang peniaga. 

Pada 5 petang, FBM KLCI susut 0.03 peratus atau 0.55 mata kepada 1,600.67 berbanding paras penutup 1,601.22 pada Khamis.

Indeks penunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 2.24 mata kepada 1,603.46, turun ke paras 1,599.84 pada lewat dagangan selepas mencecah paras 1,604.07 semasa sesi pagi.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 601 berbanding 538, manakala 494 kaunter tidak berubah, 707 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.   

Jumlah dagangan berkurang kepada 4.62 bilion unit bernilai RM3.27 bilion berbanding 4.65 bilion unit bernilai RM3.13 bilion pada Khamis.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau ditutup kebanyakannya tinggi mendapat rangsangan daripada keadaan pasaran buruh yang bertambah baik di Amerika Syarikat, kelemahan dolar AS dan keyakinan semula terhadap penurunan kadar global. 

Di pasaran tempatan, beliau berkata prospek jangka panjang kekal positif disokong oleh pendapatan korporat yang kukuh, harga saham rendah dan sokongan besar daripada pelabur asing.

"Meskipun indeks penunjuk pasaran berada dalam fasa penstabilan susulan kenaikan baru-baru ini, kami menganggap ini sebagai penyelarasan positif. 

"Ini membolehkan pasaran mencerna aliran meningkat baru-baru ini, yang menyediakan peluang untuk mengumpul saham pada harga lebih rendah,” katanya kepada Bernama. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM9.87, Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.18, CIMB menokok dua sen kepada RM6.77, manakala Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM12.40 dan Petronas Chemicals turun sembilan sen kepada RM6.91.

Dalam kalangan kaunter cergas, Top Glove naik 3.5 sen kepada 95 sen, TWL dan Pan Malaysia susut setengah sen setiap satu masing-masing kepada 2.5 sen dan 29 sen, MRCB meningkat setengah sen kepada 69.5 sen dan Iconic tidak berubah pada 12 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 1.41 mata kepada 12,086.68, Indeks FBMT 100 turun 2.20 mata kepada 11,697.17 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 11.19 mata kepada 12,284.55.

Indeks FBM 70 meningkat 4.27 mata kepada 16,960.37 manakala Indeks FBM ACE susut 3.74 mata kepada 5,166.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 52.12 mata kepada 17,522.77, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.38 mata kepada 192.27, Indeks Perladangan berkurangan 38.09 mata kepada 7,424.43 dan Indeks Tenaga susut 3.49 mata kepada 985.16.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.77 bilion unit bernilai RM2.83 bilion daripada 2.60 bilion unit bernilai RM2.69 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.02 bilion unit bernilai RM145.01 bilion daripada 813.67 juta unit bernilai RM108.57 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 820.27 juta saham bernilai RM289.65 juta daripada 1.23 bilion saham bernilai RM331.95 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 668.55 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (452.04 juta), pembinaan (211.62 juta), teknologi (301.91 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (92.54 juta), hartanah (481.85 juta), perladangan (36.70 juta), REITs (17.62 juta), dana tertutup (29,000), tenaga (134.36 juta), penjagaan kesihatan (237.90 juta), telekomunikasi dan media (37.54 juta), pengangkutan dan logistik (49.29 juta), utiliti (50.42 juta) dan amanah perniagaan (51,000).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan