AM

KOMUNITI LUN BAWANG BERDUKA PEMERGIAN MUTANG TAGAL

10/05/2024 06:11 PM

KUCHING, 10 Mei (Bernama) -- Pemergian Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada komuniti Lun Bawang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'kelalan Baru Bian berkata berita pemergian Mutang hari ini mengejutkan semua orang di Sarawak.

“Bukan sahaja komuniti Lun Bawang, bahkan seluruh masyarakat Dayak di Sarawak berbangga kerana seorang daripada mereka telah dilantik sebagai Speaker Dewan Negara pada Februari lepas. Memang sedih apabila beliau hanya sempat berkhidmat beberapa bulan sahaja sebelum pemergian tidak diduga ini.

“Saya kenal baik dengan mendiang sama ada sebagai rakan Lun Bawang, peguam mahupun ahli politik. Sebagai sebuah komuniti yang rapat, kehilangan sebegini amat dirasai dalam kalangan komuniti Lun Bawang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Lun Bawang Sarawak cawangan Kuching Dr Mohd Shafiq Abdullah berkata Mutang adalah seorang yang telah banyak menyumbangkan tenaga dan idea dalam memajukan sosioekonomi komuniti Lun Bawang.

“Mendiang juga sentiasa mencari platform untuk memperkenalkan budaya Lun Bawang di peringkat nasional dan antarabangsa. Komuniti Lun Bawang kehilangan seorang tokoh berjiwa besar dan sukar untuk diganti,” katanya.

Mutang, 69,  menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 11.46 pagi tadi.

Beliau menerima rawatan di IJN setibanya dari Azerbaijan pada 6 Mei lepas, susulan lawatan kerja bermula 29 April lepas dan pulang lebih awal daripada yang dijadualkan.

Speaker Dewan Negara itu mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mei di Baku. 

Pada 19 Feb lepas, Mutang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletak jawatan susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Mendiang mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang dilantik ke jawatan tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan