JENAYAH & MAHKAMAH

PASANG CCTV DI TANDAS UNTUK AIBKAN RAKAN SEKERJA WANITA, AKAUNTAN DIDENDA RM4,500

10/05/2024 04:56 PM

MELAKA, 10 Mei (Bernama) -- Seorang akauntan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku mengaibkan kehormatan rakan sekerja wanitanya dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tandas pada Selasa lepas. 

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman memerintahkan Chong Soon Hoe, 25, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. 

Chong didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia 28 tahun di sebuah pejabat dalam daerah Melaka Tengah pada 4.30 petang 7 Mei lepas mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian manakala tertuduh diwakili peguam Kent Tan Chow Teng.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai ejen cukai menjumpai CCTV itu dan pemeriksaan oleh wanita tersebut mendapati Chong telah memasang peralatan tersebut selain terdapat rakaman mangsa di tandas. 

Pada prosiding itu, Tan memohon mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik kepada anak guamnya kerana ia adalah kesalahan pertama Chong dan tertuduh telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan