AM

GUNA SIJIL HALAL TAMAT TEMPOH, PRODUK KILANG PAU, KOPI DI TANJUNG MALIM DISITA

10/05/2024 05:43 PM

IPOH, 10 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melakukan serbuan ke atas sebuah kilang memproses pau dan kopi di Tanjung Malim yang menggunakan sijil halal tamat tempoh, semalam.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kilang yang beroperasi sejak lebih 50 tahun lalu dan mempunyai empat cawangan didapati masih menggunakan sijil halal yang tamat tempoh iaitu pada September 2022.

Beliau berkata operasi bersepadu yang dilaksanakan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dibuat daripada hasil semakan ke atas pemegang sijil halal yang masih menggunakan logo halal walaupun telah tamat tempoh sah.

"Pengusaha pau tersebut telah dinasihati oleh pihak JAIPk untuk memperbaharui permohonan  sijil halal namun perkara tersebut tidak diendahkan. 

"KPDN menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang dipercayai pemilik kilang tersebut dan keterangannya telah dirakam ," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata tindakan telah diambil mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dengan menyita pau dan kopi yang dianggarkan bernilai RM30,000 kerana menggunakan logo halal tanpa diperakui oleh JAIPk. 

Menurutnya, kes disiasat di bawah Perintah 8 (a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan