DUNIA

KUMPULAN PERTAMA 290 JEMAAH HAJI THAILAND BERLEPAS KE TANAH SUCI

10/05/2024 01:04 PM

SONGKHLA, 10 Mei (Bernama) -- Kumpulan pertama jemaah haji Thailand untuk tahun ini berlepas ke Tanah Suci pada pagi Khamis dengan menaiki penerbangan sewa khas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai.

Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) Wannapong Khocharak berkata Thailand mendapat kuota haji sebanyak 13,000 orang tahun ini.

Namun, menurutnya hanya 7,738 jemaah haji Thailand yang akan berlepas ke Tanah Suci melalui 28 penerbangan pada bulan ini (Mei).

“Kami berterima kasih kepada kerajaan Thailand yang memberi peluang kepada umat Islam khususnya di selatan Thailand untuk menunaikan ibadat haji,” katanya selepas hadir bersama Gabenor Wilayah Songkhla Somnuk Promkhiau semasa majlis pelepasan pada 9 Mei.

Sementara itu, Agensi Berita Saudi (SPA) pada Khamis melaporkan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz di Madinah telah menerima penerbangan pertama yang membawa jemaah haji dari Thailand.

“Mereka melengkapkan prosedur kemasukan dengan lancar dan mudah,” lapor SPA.

SPA turut melaporkan bahawa Jabatan Pasport memanfaatkan semua keupayaannya untuk memudahkan prosedur kemasukan jemaah haji dengan menyokong platform udara, darat dan laut antarabangsa dengan peranti teknikal terkini yang dikendalikan oleh pasukan berkelayakan yang mampu berkomunikasi dalam bahasa jemaah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan