AM

GRAB ANJUR 'KEBAIKAN DALAM SETIAP PESANAN', ERAT KOMUNITI SETEMPAT SAMBIL #KONGSIKEBAIKAN

10/05/2024 12:20 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Sepanjang bulan Ramadan lepas dan bersempena Hari Raya, Grab Malaysia menganjurkan pelbagai acara bersama komuniti setempat bertemakan ‘Kebaikan Dalam Setiap Pesanan’ sambil memberi kesan luar biasa dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.

Grab Malaysia dalam kenyataan memaklumkan antara program yang dilaksanakan termasuklah Projek Pemulihan Surau bersama Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Program Pengedaran Bubur Lambuk Grab, Cabaran Ramadan-Umrah Grab dan sambutan Hari Raya bersama golongan kurang bernasib baik.

“Sebagai pengiktirafan yang tidak ternilai dari Grab, satu kerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor diadakan bagi menyediakan kit permulaan sekolah bernilai RM150 setiap satu kepada 780 kanak-kanak yang merupakan anak rakan pemandu dan penghantar Grab di seluruh Selangor bagi membantu mengurangkan beban kewangan mereka.

“Selain itu, dalam memastikan rakan pemandu dan penghantar mempunyai tempat yang selesa dan mudah untuk menunaikan solat, Grab juga bekerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat-MAIWP untuk memulihkan dan menaik taraf sebuah surau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Landside,” menurut kenyataan itu.

Grab bersama komuniti rakan pemandu dan penghantar juga bekerjasama dengan masjid tempatan dan hospital di negeri Pantai Timur untuk mengedarkan bubur lambuk kepada lebih 2,500 individu.

Dalam pada itu, Cabaran Ramadan-Umrah Grab menyediakan hadiah menarik berupa pakej umrah kepada pemenang.  

“Usaha ini menyaksikan 539,000 pengguna Grab, rakan pemandu dan penghantar Grab yang menyertai cabaran ini berpeluang memenangi pakej umrah selama 12 hari 10 malam,” menurut kenyataan itu.

Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor berkata menerusi usaha itu, pihaknya berharap dapat membina semangat perpaduan dan inklusif dalam masyarakat selain memastikan tiada komuniti yang terpinggir.

“Kempen ‘Kebaikan Dalam Setiap Pesanan’ adalah satu cara untuk menangani keperluan komuniti dan mewujudkan impak sosial yang positif.

“Rakan pemandu dan penghantar kami memainkan peranan penting dalam memberi khidmat kepada rakyat Malaysia setiap hari dan kami ingin menyokong bukan sahaja keperluan mereka tetapi juga keperluan komuniti,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan