AM

KUSKOP SARAN YAYASAN BANK RAKYAT KERJASAMA DENGAN UKKM DALAM PEMBIAYAAN, BIASISWA

09/05/2024 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyarankan Yayasan Bank Rakyat (YBR) bekerjasama dengan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) bagi menawarkan pembiayaan dan biasiswa untuk pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi itu. 

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata kerjasama itu akan menarik minat anak-anak muda untuk menceburi bidang keusahawanan dan koperasi sekali gus mempromosikan universiti berkenaan sebagai pilihan untuk melanjutkan pelajaran.

“Melalui kerjasama ini, ia dapat membuka peluang kepada anak-anak muda yang mungkin tidak menerima tawaran daripada proses UPU (Unit Pusat Universiti), maka saya ingin mempromosi universiti ini sebagai satu pilihan. 

“Saya juga ingin melihat Yayasan Bank Rakyat juga menawarkan pembiayaan kepada pelajar-pelajar UKKM nanti,“ katanya pada sidang media di Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik YBR di sini hari ini. 

Beliau berkata setakat ini, hanya UKKM merupakan institusi pengajian tinggi yang memberi fokus terhadap bidang koperasi dengan menawarkan lima pengajian dalam bidang keusahawanan dan koperasi hingga peringkat ijazah sarjana.

“Jadi saya melihat universiti ini (UKKM) menarik dan saya ingin menguar-uarkan kepada anak-anak ahli koperasi dan semua pelajar untuk melanjutkan pengajian ke universiti ini,” katanya. 

UKKM mula beroperasi sebagai institusi pengajian tinggi swasta sejak 29 Mac lepas. 

Sementara itu, seramai 200 graduan cemerlang tajaan YBR di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana di institusi pengajian tinggi seluruh negara diraikan melalui pemberian insentif berbentuk wang tunai.

Pengerusi YBR Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata sebanyak RM200,000 diperuntukkan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menamatkan pengajian dengan keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.5 ke atas bermula Julai 2023.

“Sebanyak 187 graduan di peringkat Ijazah Sarjana Muda manakala 13 graduan di peringkat Ijazah Sarjana telah tersenarai menerima anugerah ini yang diharap dapat memberi dorongan serta memotivasikan mereka untuk lebih berjaya serta membantu graduan yang telah berada dalam industri pekerjaan,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan