EKONOMI

KEUNTUNGAN BERSIH MR D.I.Y. NAIK KEPADA RM144.8 JUTA PADA SUKU PERTAMA

09/05/2024 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih MR D.I.Y. Group (M) Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 meningkat kepada RM144.88 juta daripada RM127.77 juta tahun lepas.

Perolehan syarikat itu bagi tempoh di bawah kajian melonjak 9.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.14 bilion daripada RM1.05 bilion sebelumnya terutamanya disebabkan oleh sumbangan positif daripada kedai baharu.

Kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini berkata rangkaian kedai itu berkembang sebanyak 15.4 peratus pada suku pertama 2024 daripada 1,125 kepada 1,298 kedai.

Ketua Pegawai Eksekutif Adrian Ong berkata bahawa kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan kukuh merentasi semua petunjuk utama dan bagi beberapa tempoh yang bukan sahaja mencerminkan kekuatan dan daya tahan model perniagaan syarikat itu tetapi juga nilai yang menarik untuk rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat.

“Walaupun tekanan inflasi mungkin telah reda sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kami sedar bahawa keadaan masih mencabar bagi kebanyakan isi rumah. Kami tetap komited untuk menjadikan barangan keperluan rumah harian mampu milik dan boleh diakses oleh semua.

“Rancangan kami pada 2024 adalah untuk mengukuhkan lagi syarikat dengan membuka 180 kedai baharu pada 2024 dan melepasi sasaran kami sebanyak 2,000 kedai menjelang tahun 2028,” katanya.

Kumpulan itu kukuh dalam komitmennya untuk mencapai pertumbuhan mampan jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan melalui strategi pengembangan kedai serta merebut peluang melalui pengambilalihan untuk mempercepatkan pertumbuhan.

MR D.I.Y. mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak RM0.01 sesaham biasa, kira-kira RM94.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 yang akan dibayar pada 21 Jun 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan