SUKAN

13 JURULATIH HOKI TAMAT KURSUS BERPRESTASI TINGGI

08/05/2024 10:50 PM

IPOH, 8 Mei (Bernama) -- Seramai 13 peserta daripada lima negara berjaya menamatkan Kursus Jurulatih Berprestasi Tinggi anjuran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan Persekutuan Hoki Asia (AHF)  dengan kerjasama Akademi Hoki Raja Ashman Shah di sini hari ini.

Pengerusi Akademi Hoki Raja Ashman Shah, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata terdapat empat kategori kursus iaitu High Performance Coach yang julung kali diadakan, Level 3 Coach, Advanced Umpire dan Hockey Educators. 

Beliau berkata 13 peserta berjaya menamatkan High Performance Coach course iaitu dari Afrika Selatan, United Kingdom, Ireland, Belanda, Hong Kong, Australia, Barbados dan tuan rumah Malaysia diwakili Iman Gobiathan. 

"Bagi kursus Level 3 Coach seramai 19 peserta berjaya memiliki sijil kejurulatihan melibatkan Malaysia, Jepun, Indonesia, India, Hong Kong, Singapura, Oman dan Afrika Selatan, manakala tujuh peserta berjaya tamatkan kursus Educator Course dan dua lagi peserta dalam kategori Advanced Umpire," katanya dalam sidang media di sini. 

Turut hadir Mike Joyce Ketua Pendidikan dan Pembangunan FIH Ghulam Gous, Pengarah Kanan AHF dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Akademi Hoki AHF-Raja Ashman Shah, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. 

Sementara itu, Abd Rahim berkata program tahunan bersempena penganjuran Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 itu juga mendapat sokongan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Penolong jurulatih skuad hoki wanita bebangsaan, Siti Rahmah Othman yang mengikuti Level 3 Coach ketika ditemui berkata beliau teruja dapat mengembangkan lagi ilmu kejurulatihan hasil perkongsian mereka yang arif tentang dunia sukan itu.

"Sepanjang lima hari dianjurkan memang banyak perbezaan ketara dari segi input yang diberikan oleh tenaga pengajar dan saya harapkan dapat digunakan untuk pasukan negara kita. 

"Saya yakin pengalaman dan ilmu yang telah diperoleh sepanjang kursus berkenaan dapat membantu usaha ke arah memberi khidmat kejurulatihan yang cemerlang dalam memajukan sukan hoki di negara ini termasuk di persada antarabangsa," katanya. 

Katanya, pihaknya menyokong usaha pihak yang terlibat dalam memastikan sukan hoki terus berkembang dalam negara selain membantu usaha untuk melahirkan jurulatih yang berkualiti khususnya daripada bekas pemain hoki. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan