AM

STM OPTIMIS METERAI PERJANJIAN BEKALKAN LMS KELOMPOK 2 KEPADA TLDM

08/05/2024 06:00 PM

Oleh Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Pembina kapal Turkiye, Turkiye Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM) optimis untuk memeterai perjanjian membekalkan kapal misi pesisir (LMS) kelompok kedua jenis korvet kelas-Ada kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pengurus Besar STM Ozgur Guleryuz berkata perbincangan dengan TLDM dan Kementerian Pertahanan mengenai perkara itu selama hampir dua tahun, berjalan lancar setakat ini. 

"Insya-Allah kami berharap dapat menandatangani memorandum persefahaman (dengan TLDM) tidak lama lagi," katanya kepada Bernama di luar acara pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini hari ini.

Guleryuz berkata kapal korvet kelas-Ada kini berkhidmat dalam Tentera Laut Turkiye, Pakistan dan Ukraine.

"Akan ada versi Malaysia (jika perjanjian berjaya dicapai). Kami cuba mencari penyelesaian yang sesuai dengan keperluan TLDM," katanya.

Menurut Kementerian Pertahanan dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 13 Mac lepas, surat niat (LoI) telah dikeluarkan kepada STM pada 5 Feb dan syarikat Turkiye itu memberi maklum balas pada 8 Feb untuk memulakan rundingan.

Kementerian itu memaklumkan perbincangan terperinci mengenai perolehan LMS kelompok kedua khususnya tentang spesifikasi dan rundingan harga sedang dikendalikan oleh TLDM.

Korvet kelas-Ada ialah jenis kapal peronda dan peperangan antikapal selam (ASW) yang dilengkapi dengan peluru berpandu antipesawat canggih.

Ia mempunyai sesaran kira-kira 2,400 tan, panjang 99.44 meter (m), lunas 14.42 m dan draft 3.59 m serta dikuasakan oleh enjin Renk Codag 31,640 kW (42,430 hp).

Dengan had laju maksimum 30 knot dan jarak pelayaran sejauh 6,500 kilometer pada 15 knot, ia memuatkan 93 anak kapal dan daya tahan maksimum selama 21 hari.

Kapal itu juga dilengkapi dengan helipad dan hangar untuk menyimpan dan mengendalikan helikopter ASW atau pengangkut bersaiz sederhana serta pesawat tanpa pemandu (UAV).

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan