EKONOMI

MNRB CATAT UNTUNG BERSIH RM428.34 JUTA, PRESTASI TERBAIK DALAM SEJARAH 50 TAHUN

08/05/2024 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd mencatat lonjakan dalam keuntungan bersihnya kepada RM428.34 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024 (TK2024) berbanding RM142.64 juta pada TK2023, menandakan prestasi kewangan terbaik dalam sejarah 50 tahun syarikat.

Ini disebabkan perniagaan yang berkembang dengan kukuh, hasil daripada pengunderaitan dan pulangan dalam pelaburan.

Hasil turut meningkat kepada RM3.60 bilion daripada RM2.97 bilion pada tahun sebelumnya, kata kumpulan itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, kumpulan berkenaan berkata ia mencatat premium bertulis kasar (GWP) dan caruman bertulis kasar (GWC) sebanyak RM4.0 bilion pada TK2024, peningkatan 17.6 peratus berbanding GWP/GWC bagi TK2023 iaitu sebanyak RM3.4 bilion.

Hasil daripada perniagaan insurans dan takaful meningkat 21.1 peratus kepada RM3.6 bilion daripada RM3.0 bilion pada TK2023.

Ia juga menyatakan keuntungan selepas cukai (PAT) untuk TK2024 melonjak sebanyak 200.4 peratus kepada RM428.4 juta, melepasi paras RM400 juta.

“Ini disebabkan oleh hasil perniagaan insurans semula/takaful semula berjumlah RM362.4 juta, terutamanya didorong oleh keputusan pengunderaitan yang kukuh ditambah dengan prestasi pelaburan yang teguh.

“Secara keseluruhannya, keuntungan kumpulan diperkukuh lagi oleh asas perniagaan kukuh segmen takaful dan operasi yang cekap,” kata MNRB.

Walaupun menghadapi cabaran dalam pasaran modal domestik dan global akibat halangan makroekonomi, pendapatan pelaburan dan hasil MNRB mencapai rekod tertinggi lima tahun, dengan hasil daripada pelaburan mencecah RM588.3 juta, meningkat 61.3 peratus daripada TK2023.

Dengan hasil sebanyak 5.64 peratus, prestasi pelaburan MNRB adalah sejajar dengan pulangan kukuh daripada institusi-institusi yang lebih besar di Malaysia.

“Pertumbuhan ini, dengan penumpuan lebih daripada 80 peratus untuk pasaran Malaysia, terutamanya disebabkan oleh pulangan yang menggalakkan, berikutan penjajaran strategik portfolio pelaburan, strategi dagangan dan model peruntukan aset,” katanya.

Selain itu anak syarikat insurans semula/takaful semula kumpulan, Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) memecah rekod GWP/GWC iaitu pada RM2.5 bilion dalam TK2024, melepasi paras RM2.0 bilion buat pertama kali.

Bagi suku keempat berakhir 31 Mac, 2024 (S4 TK2024), keuntungan bersih MNRB meningkat kepada RM232.63 juta berbanding RM94.94 juta setahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM816.79 juta berbanding RM637.97 juta pada S4 TK2023.

Hasil insurans dan takaful kumpulan meningkat 30.6 peratus kepada RM707.2 juta dalam tempoh itu daripada RM541.3 juta yang dicatatkan pada S4 TK2023.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Zaharudin Daud berkata penerbitan sukuk juga telah membantu mengurangkan kos modal dan memberikan syarikat itu kelonggaran untuk melaksanakan transformasi kumpulan dengan berkesan.

Ia juga membolehkan kepelbagaian strategik ke pasaran antarabangsa dan memudahkan perkongsian strategik, tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi MNRB Datuk Johar Che Mat berkata kunci kejayaan syarikat ialah pelancaran inisiatif strategik merentas semua bidang perniagaan.

Penambahbaikan ketara pada TK2024 telah dirancang secara strategik dengan komitmen berterusan untuk mengutamakan pihak-pihak berkepentingan dan menjuarai tadbir urus yang baik.

“Kami mendapati minat pelabur terhadap kumpulan telah meningkat, mencerminkan keyakinan pasaran terhadap syarikat sepanjang tahun kewangan.

"Kami terus melihat melangkaui Malaysia dan memanfaatkan peluang semasa dalam pasaran yang sukar sambil bersiap sedia untuk mengatasi cabaran dalam pasaran yang tidak menentu akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan