AM

POKOK TUMBANG: MANGSA LELAKI DIBENAR KELUAR HOSPITAL, WARGA SWEDEN MASIH DIRAWAT

08/05/2024 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Seorang daripada dua individu yang cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini semalam, telah dibenarkan keluar dari hospital pagi tadi. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Naazron Abd Yusof berkata lelaki berusia 26 tahun yang merupakan pemandu e-hailing dibenarkan keluar pada 6 pagi, manakala penumpangnya iaitu seorang wanita warga Sweden berumur 72 tahun masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

"Jumlah mangsa yang cedera dalam kejadian itu kekal dua orang," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Naazron berkata setakat ini, polis menerima 18 laporan berhubung kerosakan kenderaan akibat kejadian yang dipercayai berlaku pada 2.19 petang semasa hujan lebat dan angin kuat. 

Kejadian itu juga menyebabkan seorang pemandu peribadi Md Rizal Atan, 47, maut selain menyebabkan gangguan perkhidmatan monorel selepas dahan pokok yang berusia lebih 50 tahun itu turut menimpa landasan pengangkutan awam itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan