AM

PERANCANG KEWANGAN PERLU LAPOR KEGIATAN MERAGUKAN KEPADA PIHAK BERKUASA

08/05/2024 03:58 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif dan Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Perancang kewangan perlu memainkan peranan untuk melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan yang menjurus kepada pengubahan wang haram kepada pihak berkuasa, kata Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman ACP Foo Wei Min.

Foo berkata setakat ini kadar pelaporan daripada kumpulan itu berkaitan kegiatan terbabit masih rendah.

"Sebagai institusi pelapor, mereka ada tanggungjawab untuk membuat laporan transaksi mencurigakan (STR) dan laporan transaksi kewangan (CTR) kepada pihak atasan bank apabila didatangi oleh pelanggan yang ingin membeli produk tanpa diketahui sumber kewangannya.

"Apabila laporan diterima oleh Bank Negara Malaysia (BNM), mereka akan salurkan kepada pihak berkuasa dan kita boleh periksa (kes itu)," katanya yang ditemui Bernama di Annual Signature Financial Planning Symposium 2024 di sini hari ini.

Menurut Foo pihak pematuhan dan penyeliaan bank juga berperanan sebagai badan penasihat kepada pihak bank untuk mencadangkan langkah lebih ketat terhadap produk yang dilancarkan oleh bank bagi memastikan ia dapat membendung kegiatan keldai akaun.

"… tetapi ada pihak (yang sedar akan kegiatan keldai akaun) tidak buat (laporkan kepada pihak bank), malah tidak menjalankan tugas untuk beri nasihat kepada bank," katanya.

Pada Mac lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengesan transaksi pemindahan wang sebanyak RM3.8 bilion ke 43 negara melalui 15 syarikat perdagangan berdaftar di Malaysia, yang disyaki hasil kegiatan penipuan bermula 2021 hingga 2023.

Pengarah JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya mengesan kewujudan trend pendaftaran syarikat dan pembukaan akaun bank atas nama syarikat yang disyaki bertujuan dijadikan akaun keldai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan