AM

ACARA PERMOTORAN KDIBW 2024 BERPOTENSI JANA EKONOMI

08/05/2024 03:23 PM

ALOR SETAR, 8 Mei (Bernama) -- Acara permotoran, Kedah International Bike Week (KDIBW 2024) pada Disember nanti dijangka menghimpunkan lebih 40,500 peserta dari dalam dan luar negara sekali gus dilihat berpotensi menjana aktiviti ekonomi negeri.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah Datuk Mohd Salleh Saidin berkata KDIBW juga menjadi acara pembuka tirai Tahun Melawat Kedah 2025 yang bertujuan merancakkan industri pelancongan di negeri ini.

“Sebenarnya ini satu acara yang disokong oleh kerajaan negeri sebab kita melihat ia akan memberi kesan positif kepada sektor pelancongan negeri Kedah dengan puluhan ribu penunggang dan peminat motosikal berkumpul nanti.

“Sudah tentu ia akan memberi impak positif terhadap sektor pelancongan dan inilah masanya untuk kita kerajaan negeri mempromosikan produk-produk pelancongan sedia ada dalam negeri Kedah,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

KDIBW 2024 dijadual diadakan pada 6 hingga 8 Dis di Taman Jubli Emas, Suka Menanti, di sini.

Mohd Salleh berkata dengan kehadiran puluhan ribu peserta pada acara tiga hari itu sudah pasti akan meningkatkan permintaan atau tempahan bilik hotel, inap desa, restoran dan destinasi pelancongan di negeri ini.

Menurut beliau pelbagai program dan aktiviti menarik turut akan disediakan untuk peserta dan pengunjung, bagaimana pun penganjur diingatkan untuk mematuhi peraturan serta garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri.

Acara itu juga dilihat dapat menjadi platform meningkatkan kefahaman dan kesedaran kepada orang ramai mengenai dunia permotoran selain isu-isu keselamatan dan peraturan lalu lintas.

“Kita ada berbincang dengan pihak penganjur untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan dan dicadangkan acara ini diadakan pada tahun depan dan tahun berikutnya supaya Kedah menjadi tumpuan penunggang serta peminat dunia permotoran dari Malaysia dan luar negara,” katanya.

Beliau turut berharap pihak penganjur menggunakan acara berkenaan untuk membantu kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2025 bagi menarik lebih ramai pelancong. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan