JENAYAH & MAHKAMAH

MAHKAMAH BENAR MUHYIDDIN DAPAT SEMENTARA PASPORT LAWAT KAKAK HIDAP KANSER DI AUSTRALIA 

08/05/2024 12:19 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara hari ini bagi membolehkan beliau melawat kakaknya yang menghidap kanser di Australia.

Hakim Azura Alwi membenarkan pasport diserahkan kepada bekas perdana menteri itu menerusi peguamnya, selepas tiada bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap permohonan itu.

“Pasport akan diserahkan kepada wakil peguam Tang Jia Yearn hari ini dan diserahkan kembali kepada mahkamah pada 28 Mei melalui beliau (Tang),” katanya.

Terdahulu peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin memohon pasport diserahkan sementara kepada Muhyiddin hari ini kerana anak guamnya akan bertolak ke Australia pada 12 Mei untuk melawat kakaknya berumur 82 tahun yang menghidap kanser.

“Pemohon (Muhyiddin) akan pulang ke Malaysia pada 25 Mei, oleh itu pasport akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 28 Mei. Saya mohon pasport diserahkan kepada peguam yang mewakili pemohon iaitu Tang Jia Yearn dan beliau (Tang) juga yang akan memulangkannya semula kepada mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad pula berkata pihaknya tidak membantah permohonan itu memandangkan alasan yang dikemukakan dalam afidavit adalah munasabah.

Pada prosiding sama Hisyam memohon prosiding kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi Presiden Bersatu itu ditangguhkan, sementara menunggu permohonan semakan keputusan oleh panel hakim sebelum ini yang akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 9 Julai ini diputuskan.

“Pihak kami telah memfailkan permohonan penangguhan itu semalam dan memohon permohonan itu didengar terlebih dahulu,” kata peguam itu.

Nor Asma berkata pihaknya menerima notis permohonan itu menerusi emel semalam dan akan memfailkan afidavit bantahan terhadap permohonan berkenaan.

“Saya mohon permohonan untuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram untuk dibicarakan bersama didengar terlebih dahulu,” katanya.

Azura kemudian menetapkan 13 Jun untuk pendengaran permohonan penangguhan itu.

Muhyiddin, 76, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Beliau juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan