AM

PERSIAPAN SAMBUTAN HAWANA 2024 SEMAKIN RANCAK

08/05/2024 10:03 AM

KUCHING, 8 Mei (Bernama) -- Persiapan untuk sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang akan diadakan di sini pada 25 hingga 27 Mei semakin rancak dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana sambutan, mengadakan perbincangan sehari suntuk bersama rakan-rakan strategiknya di sini semalam.

Terdahulu, Sekretariat HAWANA 2024 diketuai Pengarah Projek Arul Rajoo Durar Raj yang juga Ketua Pengarang Bernama mengadakan pertemuan dengan pentadbiran Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi memperincikan program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Dekan FPBK UNIMAS Dr Dilah Tuah, Timbalan Dekan FPBK UNIMAS Dr Noratikah Mohamad Ashari serta Pensyarah Kanan dan Pengarah UNIMAS Publisher Dr Malia Taibi.

Dalam perbincangan berkenaan, Arul Rajoo berkata program jelajah di UNIMAS pada 24 Mei ini adalah yang pertama daripada enam siri Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa yang dirancang bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional tahun ini. 

Beliau berkata program Jelajah HAWANA 2024 di UNIMAS akan melibatkan dua sesi bengkel menarik berkenaan Mobile Journalism dan Fact Check yang dikendalikan oleh penceramah yang juga petugas agensi berita berkenaan iaitu Syed Iylia Hariz Al-Qadri dan Sakina Mohamed.

“Bernama memang ada pasukan yang fokus tentang semakan fakta dan kita hendak kongsikan perkara ini dengan pelajar-pelajar universiti dalam jelajah ini. Begitu juga dengan mobile journalism, kita kongsikan kaedah menggunakan telefon pintar dalam amalan kewartawanan kini,” katanya.

Arul Rajoo berkata sebanyak 200 pelajar dari UNIMAS, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak dan Swinburne University of Technology Sarawak akan menghadiri bengkel itu disusuli sesi dialog bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang dijangka melibatkan 300 pelajar.

Sementara itu, Dilah menzahirkan penghargaan kepada Bernama kerana memilih UNIMAS sebagai lokasi untuk program jelajah berkenaan dan menyatakan sokongannya bagi menjayakan program itu.

Pada sebelah petang, Sekretariat HAWANA 2024 mengadakan mesyuarat dengan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan beberapa rakan strategik sambutan yang dipengerusikan Pengarah UKAS Samuel Simon.

Selain siri jelajah, sambutan HAWANA 2024 yang mengangkat tema "Etika Teras Kewartawanan Mapan" turut diisi dengan pelbagai program antaranya Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan “Evolusi Media dalam Era Digital” dengan kehadiran kira-kira 600 peserta melibatkan penceramah tempatan dan luar negara. 

Turut diadakan pameran melibatkan kira-kira 20 pempamer bermula 25 Mei dan program Juh Raon pada 26 Mei.

Peserta sambutan akan turut diraikan dalam Majlis Makan Malam bersama Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 26 Mei sebelum Majlis Kemuncak HAWANA 2024 pada 27 Mei yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media dari negara-negara anggota ASEAN turut dijemput menghadiri HAWANA 2024 yang merupakan platform penting untuk fraterniti media profesional dan pakar industri, bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.

HAWANA 2024 merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, manakala Bernama ialah agensi pelaksana acara tahunan itu.

Penganjuran tahun ini ialah edisi keempat selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, dan sambutan berikutnya di Melaka (2022) dan Perak (2023).

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan