AM

UKM LANCAR INOVASI MUIB BANTU PESAKIT ACL PULIH CEPAT

08/05/2024 12:58 AM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mencipta inovasi graf tahan lasak dikenali sebagai Modified UKM Internal Brace (MUIB) yang digunakan bagi penggantian ligamen krusiat anterior (ACL) akibat kecederaan aktiviti lasak termasuk sukan.

Pakar Ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz Profesor Madya Datuk Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff berkata inovasi itu tercetus apabila beliau melihat beberapa pesakit yang telah menjalani pembedahan rekonstruksi ACL akibat kecederaan tersebut masih berasa tidak stabil susulan graf yang dimasukkan tidak sekukuh ACL asal atau longgar.

Beliau berkata proses pembuktian inovasi MUIB telah berjalan sejak 2018 melalui perbincangan, kajian biomekanik dan cerapan hasil pembedahan serta rehabilitasi pesakit.

“Setakat ini, lebih 300 pesakit telah menjalani pembedahan rekonstruksi ACL/PCL (ligamen krusiat posterior) menggunakan inovasi ini dan Alhamdulillah, keadaan mereka pulih dan kembali aktif bersukan.

“Perbezaan penyediaan graf tahan lasak kali ini adalah kita memasukkan Internal Brace ke dalam graf itu yang kebiasaannya digunakan bagi pembedahan pesakit ACL ini, dan dengan adanya Internal Brace ini ia mampu memberi keanjalan kepada graf seterusnya dapat menguatkan dan menjadikan graf itu lebih kukuh dan tidak longgar,” katanya.

Dr Badrul Akmal Hisham berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Graf MUIB ACL/PCL oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidik dan Inovasi) UKM Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani di sini hari ini.

Pensyarah Klinikal di Fakulti Perubatan UKM itu berkata pesakit yang menggunakan inovasi baharu ini mampu berjalan tanpa menggunakan tongkat seawal empat minggu berbanding sebelum ini yang mengambil masa kira-kira dua hingga tiga bulan.

“Antara kelebihan MUIB apabila menggunakan tendon alograf, iaitu tendon yang diperoleh daripada penderma organ, ialah proses rehabilitasi yang lebih cepat, tiada kesakitan pada otot hamstring pesakit sendiri (setelah diambil tendonnya untuk disediakan sebagai graf ACL) dan kekuatan serta fungsi hamstring tetap terpelihara,” katanya

Beliau berkata selain itu, penggunaan MUIB alograf yang sudah disediakan terlebih dahulu menjadikan tempoh pembedahan lebih singkat iaitu kira-kira 40 minit berbanding jika tendon autograf digunakan.

“Dengan adanya inovasi baharu ini, ia mampu memberikan keyakinan kepada mana-mana pesakit ACL terutama atlet dan profesional untuk mereka kembali beraksi dalam bidang masing-masing kerana kita percaya MUIB membantu mengukuhkan kembali pergerakan mereka,” katanya.

Dr Badrul Akmal Hisham berkata inovasi itu juga telah difailkan untuk dipatenkan di Malaysia pada Disember lepas melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai permulaan dan seterusnya akan dipatenkan di peringkat antarabangsa.

Selebriti Hun Haqeem, 26, adalah antara pesakit yang menjalani pembedahan rekonstruksi ACL menggunakan kaedah MUIB alograf pada September 2023 selepas mengalami kecederaan lutut ketika melakukan aksi lagak ngeri di lokasi sewaktu penggambaran drama W: Two Worlds.

“Sewaktu mengalami kecederaan itu, saya ada persembahan rancangan Mask Singer tapi sebenarnya dalam tempoh itu masih rehabilitasi… Alhamdulillah, terkejut juga kerana mampu menghabiskan sesi persembahan tanpa ada masalah. 

“Selepas pembedahan, saya mengambil masa untuk berjalan kira-kira empat minggu juga dan dengan adanya inovasi sebegini, kita lebih yakin sebagai pesakit untuk melakukan pekerjaan dan ia telah terbukti efektif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan