AM

HIDUP BERSAMA SECARA AMAN ANTARA 10 RESOLUSI PERSIDANGAN ANTARABANGSA KETUA-KETUA AGAMA

08/05/2024 12:32 AM

PETALING JAYA, 7 Mei  (Bernama) -- Hidup bersama secara aman dengan mengiktiraf unit keluarga bagi mencerminkan kepentingan dalam menggalakkan persaudaraan sesama insan merupakan satu daripada 10 resolusi penemuan yang dipersetujui dalam Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024.

Resolusi itu dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff pada majlis penutupan persidangan sehari yang dianjurkan oleh JAKIM dan Liga Dunia Muslim di sini hari ini.

“Kebencian dan perkauman merupakan sentimen ganas yang mendedahkan kecacatan besar dalam pemahaman konsep agama, kebangsaan dan sivil. 

“Sentimen sebegitu adalah penghasut terbesar ke arah keganasan dan perpecahan. Ia juga menjadi punca utama mengapa perpaduan dalam sistam moral manusia sering terjejas,” katanya.

Hakimah berkata persidangan itu juga mendapati bahawa dialog berkesan berdasarkan kepada pendekatan beradab merupakan cara terbaik bagi menyelesaikan konflik, merapatkan perbezaan dan mengatasi ketakutan, salah faham dan prasangka, termasuk merungkai teori pertembungan tamadun yang tidak dapat dielak. 

“Dialog yang berkesan dan pendekatan dengan niat baik serta impak ketara dalam membina persefahaman dan kerjasama adalah cara terbaik untuk menangani ideologi ekstremis,” katanya.

Hakimah berkata agama tidak boleh diambil kesempatan dalam mencapai apa-apa tujuan yang menyimpang daripada tujuan rohani dan pembaharuan.

Berdasarkan penemuan itu, Hakimah berkata persidangan turut merumuskan tujuh cadangan, pertamanya menyeru kesedaran dunia untuk memupuk penyelesaian yang jujur, adil dan berkesan, yang pada masa sama melindungi semua hak kemanusiaan serta mengekalkan nilai-nilai bersama.

Kedua, persidangan menyeru pemimpin agama untuk tidak membenarkan masyarakat dihasut dengan sentimen yang mencetuskan permusuhan dan perpecahan serta menjejaskan perpaduan negara dengan melakukan amalan impulsif atau bermusuhan termasuk dengan sengaja menyebarkan maklumat yang mengelirukan dan palsu.

Cadangan ketiga, menyeru institusi kebangsaan dan agama untuk mendepani segala bentuk diskriminasi dan pengecualian terhadap agama, budaya dan etnik minoriti.

“...berusaha untuk mewujudkan perundangan yang kukuh dan berkesan bagi menggalakkan nilai-nilai kasih sayang, pemaaf dan persaudaraan,” katanya.

Keempat, persidangan menyeru institusi berkenaan untuk turut melindungi perpaduan keluarga kerana ia mewakili teras masyarakat.

Hakimah berkata cadangan kelima ialah menyeru pelbagai platform berpengaruh terutamanya media untuk sentiasa mengambil berat tentang tanggungjawab moral yang diamanahkan kerana mereka adalah institusi paling berpengaruh dalam membentuk pendapat umum.

“Keenam, kami menyeru institusi agama di seluruh dunia memupuk sifat pemaaf dalam kalangan masyarakat bagi mengukuhkan ikatan perpaduan dan persaudaraan serta menolak ekstremisme yang mampu membangkitkan kebencian dan mengambil kesempatan daripada agama bagi mencetuskan krisis dan konflik,” katanya.

Cadangan terakhir ialah persidangan mengecam semua amalan ekstremis dan keganasan terhadap mana-mana penganut agama dan menyokong segala inisiatif murni yang dapat menangkis semua amalan tersebut. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan