AM

TUBUH MAHKAMAH UTAMA SYARIAH LICINKAN UNDANG-UNDANG PAHANG - SULTAN PAHANG

07/05/2024 09:57 PM

KUANTAN, 7 Mei (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencadangkan kerajaan negeri untuk menubuhkan Mahkamah Utama Syariah bagi melicinkan lagi undang-undang syariah di negeri itu.

Baginda bertitah buat masa ini, Pahang mempunyai tiga peringkat undang-undang syariah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

“Undang-undang Islam dan hukum kanun di Pahang bermula sejak zaman Sultan Pahang ke-12 dan ia diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Pada tahun 2012 kita perkemaskan hukum kanun dan undang-undang syariah, buat pengetahuan delegasi, sistem perundangan di Pahang kita ada tiga peringkat hukum syariah,” titah baginda pada Majlis Penutupan ‘International Conference on Contemporary Education in The Islamic World (ICCEIW)’ di sini hari ini.

Titah baginda itu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Al-Sultan Abdullah bertitah cadangan itu telah dikemukakan kepada kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), untuk tindakan seterusnya.

ICCEIW merupakan persidangan yang julung kali diadakan kerajaan Pahang dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Yayasan Pahang, MUIP dan Kesatuan Universiti-universiti Islam Sedunia (Rabitah al-Jamiat al-Islamiyyah).

Persidangan selama tiga hari bermula Ahad, disertai 300 peserta dari 22 negara antaranya Indonesia, Brazil, Syria, India, Libya, Tunisia, Kanada dan Arab Saudi.

Persidangan itu yang turut disertai Rektor Universiti Al-Azhar Prof Dr Salamah Daud, bertujuan untuk menyediakan satu dimensi baru perbincangan ilmu dalam bidang-bidang ilmu, terutama bidang pendidikan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan