AM

DSA: KOREA DAN MALAYSIA TEROKA KERJASAMA BIDANG BAHARU DALAM INDUSTRI PERTAHANAN

07/05/2024 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan (DAPA) Korea Mej Jen (B) Seok Jong Gun.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan pertemuan di luar pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2024, di sini, itu antara lain bagi membincangkan hala tuju industri pertahanan bagi kedua-dua buah negara.

“Kedua-dua mereka bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama bidang baharu dalam industri pertahanan, yang boleh diterokai oleh kedua-dua negara,” menurut kenyataan kementerian itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Zimbabwe Oppah Chamu Zvipange Munchiguri Kashiri, pada hari kedua pameran DSA dan NATSEC itu.

Kementerian Pertahanan memaklumkan kedua-dua menteri pada pertemuan itu antara lain membincangkan peluang kerjasama yang boleh diterokai di antara kedua negara di masa hadapan.

Pameran DSA dan NATSEC yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di sini itu yang akan berakhir Khamis ini, mempamerkan teknologi dan aset peperangan elektronik tercanggih di dunia dalam sektor pertahanan darat, udara dan laut.

Acara dwitahunan yang memasuki dalam edisi ke-18 itu, bertemakan Building Resilient Nations For The Next Generation dan telah menarik penyertaan 1,324 syarikat dari 60 negara, dengan 34 negara mempunyai pavilion sendiri, termasuk Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu, Itali dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan