AM

ANGKASA SIFATKAN DEKLARASI JORDAN LANGKAH PENTING PERKUKUH KERJASAMA ANTARA KERAJAAN DAN KOPERASI

07/05/2024 07:42 PM

KUALA LUMPUR,  7 Mei (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyifatkan Deklarasi Jordan sebagai langkah penting memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan dan koperasi untuk membangunkan ekonomi koperasi yang inklusif dan mampan.

Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata deklarasi yang dibentang pada Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia dan Pasifik ke-11 itu memperjelaskan komitmen Menteri yang menerajui sektor koperasi di rantau Asia Pasifik bagi mengadakan dialog konstruktif antara badan kerajaan dan koperasi.

Ini termasuk memperkukuh dasar-dasar yang menyokong gerakan koperasi, serta meningkatkan kesedaran tentang model perniagaan koperasi dan nilai-nilai yang dibawanya.

“Inisiatif ini sejajar dengan peranan ANGKASA selaku badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan untuk meningkatkan sumbangan dan memperkukuh kelestarian gerakan koperasi di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Persidangan tersebut berlangsung pada 28 hingga 30 April lepas di Laut Mati, Jordan yang dihadiri 15 delegasi Malaysia termasuk ANGKASA dan diketuai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick.

Antara pengisian penting di dalam deklarasi tersebut adalah memperkukuh dasar, rangka kerja undang-undang dan strategi yang menyokong gerakan koperasi dan memudahkan integrasi ke dalam pelan pembangunan negara.

Deklarasi tersebut turut mengiktiraf koperasi sebagai platform berkesan dalam mencapai pertumbuhan negara yang inklusif dan mampan seiring dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Abdul Fattah berkata, keputusan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick menyokong Deklarasi Jordan juga adalah satu langkah positif yang menyokong kesinambungan dan pertumbuhan koperasi di negara ini.

Hal ini sejajar dengan matlamat Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi menerusi platform koperasi serta menyediakan ekosistem yang lebih mesra koperasi, katanya.

Katanya, deklarasi ini turut akan dilaksanakan dalam kalangan koperasi di bawah naungan ACO yang mana ianya mampu mendorong kerjasama serantau dan antarabangsa dalam kalangan kerajaan, koperasi, dan pihak berkepentingan lain.

Beliau berkata, ia bagi berkongsi amalan terbaik, bertukar pengetahuan dan pengalaman serta memupuk persekitaran yang membolehkan ketahanan dan pertumbuhan koperasi di ASEAN diperhebat untuk dimanfaatkan oleh anggota dan masyarakat.

“Usaha ini juga dijalankan sebagai salah satu komitmen ANGKASA memperluas jaringan perdagangan dan meningkatkan keterlihatan produk dan perkhidmatan koperasi Malaysia di peringkat rantau ASEAN seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan bagi koperasi di negara ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan