AM

PERSIDANGAN ANTARABANGSA KETUA-KETUA AGAMA USAHA TANGANI PERTEMBUNGAN BUDAYA, TAMADUN

07/05/2024 08:09 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa menyifatkan Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 di Malaysia, sebagai usaha penting dalam menangani pertembungan budaya dan tamadun.

Beliau berkata persidangan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Liga Dunia Muslim itu juga, bagi memupuk keharmonian dalam kalangan penganut agama yang berbeza serta mendepani ideologi ekstremis.

“Oleh itu, persidangan global ini mempunyai kepentingan yang sangat besar, dan kami secara kolektif berhasrat untuk melihat kesan ketara (persidangan ini) akan tercapai,” katanya ketika berucap pada persidangan itu, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai peranan MWL, Mohammed berkata pertubuhan itu telah memulakan langkah penting untuk menggalakkan keharmonian hubungan dalam kalangan penganut agama yang berbeza, dan seterusnya membina jambatan antara tamadun.

“Antara inisiatif kami dalam konteks ini ialah persidangan Membina Jambatan antara Timur dan Barat, yang kami anjurkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, dengan sokongan Sekretariat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Perhimpunan antarabangsa ini dihadiri oleh para pemimpin dalam kalangan kepimpinan agama, politik, intelektual, akademik dan media,” katanya.

Mohammed berkata inisiatif itu, menandakan langkah awal MWL melalui pelbagai inisiatif dan program global, untuk memupuk persahabatan dan kerjasama antara negara dan rakyat, dan membincangkan teori dan pemikiran mengenai pertembungan tamadun.

“Nabi Muhammad SAW sebagai contoh, hidup secara aman bersama-sama dengan pelbagai agama dan telah berjaya merangka salah satu piagam Islam yang paling penting, iaitu Piagam Madinah yang diasaskan dengan pelbagai komuniti agama.

“Piagam ini merupakan dokumen pertama dalam sejarah, yang meletakkan asas bagi persaudaraan manusia, kehidupan bersama masyarakat, dan saling hormat menghormati sesama manusia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan