EKONOMI

LEBIH 98 PERATUS PROJEK PEMBUATAN DILULUS PADA 2023 DILAKSANA, DALAM PERANCANGAN - TENGKU ZAFRUL

07/05/2024 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Lebih 98 peratus daripada keseluruhan projek pembuatan yang diluluskan pada 2023, telah dilaksanakan atau dalam perancangan setakat 5 Mei, 2024, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Mengikut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Malaysia mencatatkan sejumlah RM152 bilion bagi pelaburan diluluskan untuk sektor pembuatan pada 2023 dengan RM46.1 bilion telah direalisasikan pada tahun lepas yang melibatkan 445 projek.

“Seiring usaha MITI dan agensi-agensi berkaitan di bawahnya seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang gigih mengatasi semua kekangan dalam tempoh satu setengah tahun lepas demi merealisasikan dan melaksanakan komitmen pelaburan dan eksport, kita telah menyaksikan semakin banyak syarikat yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan atau perkhidmatan serantau mereka.

“Ringkasnya, Malaysia menjadi permulaan bagi global. Ini bermakna Malaysia menjadi lokasi untuk membolehkan syarikat menempatkan hab serantau manakala syarikat tempatan pula dapat berkembang sebagai juara global,” kata beliau ketika berucap pada majlis prapelancaran Makmal Visualisasi 3D dan Realiti Terimbuh Campuran Maya (VAMR) di sini, hari ini.

Pelancaran makmal 3D atau tiga dimensi itu adalah inisiatif diterajui oleh Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO Malaysia), di bawah Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Malaysia (MyAERO), dilakukan di luar acara Pameran Pertahanan Asia (DSA) 2024.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai pembekal nombor satu bagi tenaga kerja industri yang kompeten di Asia Tenggara dan mencapai pendapatan tahunan sebanyak RM55.2 bilion selain mewujudkan sebanyak 32,000 pekerjaan menjelang 2030.

“Selain itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 juga dapat menyuntik rangsangan seterusnya kepada rangka tindakan industri aeroangkasa itu dengan memastikan sokongan fiskal dan pembiayaan yang memadai bagi mewujudkan ekosistem lebih kukuh, sekali gus menyokong pembuatan produk aeroangkasa lebih kompleks dan meletakkan Malaysia sebagai hab perkhidmatan serantau untuk industri aeroangkasa, " kata beliau.

Pada 2023, Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM23.2 bilion merangkumi eksport bernilai RM6 bilion dan meraih perolehan sebanyak RM18.1 bilion dengan eksport utama dalam sektor aeroangkasa, termasuk bahagian pesawat, helikopter serta pesawat, kata Tengku Zafrul.

“Saya perlu memuji kalangan penggiat aeroangkasa yang banyak membantu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pembekal penting dalam rantaian bekalan komponen dan komponen aeroangkasa global. Ini merangkumi hampir 28,500 tenaga kerja mahir dan lebih daripada 250 syarikat yang bergiat aktif dalam ekosistem industri aeroangkasa Malaysia.

“Kita juga boleh berbangga dengan kejayaan untuk menarik lebih banyak pelaburan daripada penggiat aeroangkasa global dalam tempoh dua tahun lepas yang mana pasukan di sini dan saya turut terlibat mengetuai beberapa rundingan dengan prospek baharu bagi industri aeroangkasa Malaysia,” katanya.

Malah, sewaktu misi perdagangan MITI ke Jerman dan Perancis baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan sehingga RM46 bilion daripada kumpulan seperti Airbus Group, Institut de Soudure Groupe (ISG) dan Simaero.

“Ini semua jelas memaparkan keyakinan penggiat ini terhadap keupayaan industri Malaysia serta komitmen kukuh kita dalam menyokong rantaian nilai aeroangkasan global. Keadaan sedemikian dapat mengukuhkan ekosistem dengan memastikan peningkatan produktiviti serta kecekapan pasaran tenaga kerja,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan