AM

SABAH KOMITED TERHADAP KETELUSAN TADBIR URUS, BANTERAS RASUAH - HAJIJI

07/05/2024 01:55 PM

KOTA KINABALU, 7 Mei (Bernama) -- Sabah kekal komited terhadap ketelusan tadbir urus dan usaha membanteras rasuah, yang akan mewujudkan persekitaran kondusif bagi perniagaan dan pelaburan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata kepatuhan kerajaan negeri terhadap amalan terbaik antarabangsa termasuk yang digariskan oleh Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperlihatkan dedikasi terhadap tadbir urus beretika dan akauntibiliti.

“Dengan menegakkan prinsip ketelusan dan integriti, Sabah mengukuhkan keyakinan pelabur dan menggalakkan pembangunan mampan jangka masa panjang,” katanya dalam ucapan pada perasmian Forum Kesedaran Inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Memuji usaha Invest Sabah Berhad (ISB), ESG Sabah Chapter dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana berjaya menjadi tuan rumah bersama forum terbabit, beliau berkata negeri berkenaan kini berada dalam tempoh penting perjalanan pembangunan, dengan penerapan terhadap prinsip ESG adalah sangat mustahak.

“Adalah menjadi komitmen kerajaan negeri untuk mendukung ESG yang bukan sahaja meningkatkan penjagaan terhadap alam sekitar, tetapi juga memperkukuh struktur pentadbiran, sekali gus membuka laluan bagi masa depan yang lebih berdaya tahan dan makmur,” katanya.

Menurut Hajiji seluruh dunia telah mengiktiraf transformasi ESG dan menyepadukan prinsip berkenaan dalam membentuk dasar dan amalan perniagaan, manakala banyak organisasi perniagaan turut melaksanakan rangka kerja ESG yang komprehensif, mengutamakan kemampanan dalam operasi dan pelaburan masing-masing.

Beliau berkata negara seperti Norway dan Denmark juga telah memperlihatkan kepimpinan dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan inisiatif kesejahteraan sosial, berperanan sebagai tunjang dalam pembangunan negara terbabit bagi mencapai pembangunan mampan.

“Saya gembira untuk berkongsikan bahawa selari dengan komitmen kita untuk memulihkan ekosistem, Sabah telah melaksanakan program pemuliharaan hutan dengan lebih meluas, menanam lebih dua juta pokok. 

“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan biodiversiti, tetapi juga menyumbang kepada penyerapan karbon dan mengurangkan impak perubahan iklim. Inisiatif ini menjadi contoh yang mencerminkan pendekatan menyeluruh mengguna pakai prinsip ESG,” katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan