AM

PRINSIP ESG ASAS PENTING UNTUK INDUSTRI PERTAHANAN - MOHAMED KHALED

07/05/2024 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata adalah penting bagi industri pertahanan untuk mendukung prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), khususnya tadbir urus baik yang menjadi tunjang utama. 

Mohamed Khaled berkata prinsip itu sudah diterima pakai secara meluas oleh kerajaan, syarikat dan masyarakat sebagai kaedah untuk menilai risiko serta peluang.

“Prinsip itu telah melangkaui entiti yang berorientasikan keuntungan dan lebih banyak sektor utama yang lain sudah mengalami peralihan penting, termasuk pendidikan tinggi dan kesihatan,” katanya dalam ucaptama pada Seminar Keselamatan Negara, di sini hari ini.

Forum itu bersempena dengan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di sini.

Menyedari bahawa kekukuhan perkongsian antarabangsa boleh mudah dipupuk berdasarkan tadbir urus yang baik, Khaled berkata ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang juga adalah asas kepada tadbir urus yang baik.

“Dengan prinsip itu membolehkan kita meningkatkan reputasi global kita. Ini akan meletakkan Malaysia sebagai rakan kongsi boleh dipercayai di forum antarabangsa. Hasilnya, pelbagai perkongsian antarabangsa akan membantu meluaskan capaian serta keupayaan, membolehkan perkongsian maklumat, latihan bersama dan kerjasama keselamatan untuk menangani ancaman.  

“Peranan aktif di ASEAN, Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA), Rondaan Maritim Selat Melaka dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) membuktikan komitmen kita terhadap keselamatan serantau,” katanya.

Mohamed Khaled mengakui bahawa untuk mencapai dan mengekalkan standard tinggi tadbir urus bukanlah perkara mudah dan pastinya mencabar kerana rasuah, ketidakcekapan dan kurangnya ketelusan boleh menjejaskan asas kepercayaan serta kestabilan. 

Beliau berkata isu-isu ini yang akan menghakis keyakinan orang ramai dan melemahkan keberkesanan rangka kerja keselamatan.

Menangani cabaran ini amat adalah penting dan bukan sekadar memerlukan penambahbaikan tambahan malah lebih daripada itu. Di bawah aspirasi Malaysia MADANI oleh Kerajaan Perpaduan, kerajaan berusaha memastikan dua perkara yakni yang pertama, memastikan pentadbiran merangkumi amalan tadbir urus yang baik.

“Kedua, kita akan terus menonjolkan Malaysia sebagai sebuah negara yang properdagangan, prokestabilan dan properkongsian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan