AM

PM ANWAR LANCAR NACS 2024-2028 TINGKATKAN USAHA BANTERAS RASUAH

07/05/2024 03:03 PM

PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, selain meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan.

NACS 2024-2028, menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, ialah komponen penting agenda reformasi Malaysia yang menggariskan strategi-strategi teras secara menyeluruh dalam usaha pencegahan rasuah di Malaysia. 

Berucap pada Majlis Peluncuran NACS 2024-2028 di sini hari ini, Anwar berkata isu rasuah tidak boleh dipandang ringan dan semua pihak termasuk masyarakat awam perlu memainkan peranan membanteras permasalahan itu.

“Bila kita luncurkan agenda ini (NACS), ya tentu tonggaknya masih Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi ia juga melibatkan yang lain (seperti) Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan agensi lain, yang harus memastikan negara ini beranjak daripada ketelanjuran lalu dan lebih bertekad untuk membanteras (rasuah).

“Saya punya keyakinan kepada Azam (Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki) dan keluarga SPRM yang telah diberi amanah, kepercayaan dan dukungan … tidak kenal darjat dan kedudukan (membanteras rasuah) supaya rakyat dapat mesej yang jelas,” katanya.

Anwar berkata Malaysia tidak boleh diselamatkan dan nasib rakyat tidak mungkin terbela jika membiarkan penguasa, penjawat awam dan badan penguat kuasa merasakan mereka mempunyai hak untuk memunggah kekayaan dan menjalankan pentadbiran mengikut hukum rimba.

Beliau berkata biarpun ada pihak cuba menggagalkan usaha SPRM mengambil tindakan terhadap pihak atau individu disyaki terlibat dalam kesalahan rasuah dan seumpamanya, menjadi tugas semua pihak termasuk generasi muda untuk menyelamatkan negara dan membela nasib rakyat.

“Bayangkan pembasmian kemiskinan, sekolah, hospital, prasarana rakyat, nasib nelayan, petani, pekebun kecil getah, sawah padi … hampir semua boleh kita bereskan sekiranya kita dapat selamatkan negara daripada kerakusan, tamak haloba orang yang guna kuasa, kedudukan sama ada pimpinan politik atau penjawat awam atau swasta kerana tamak haloba yang tidak terkawal.

“Untuk memerangi (rasuah), anda perlukan pasukan yang amat kuat, komited, berdedikasi dan berani. Memerangi rasuah perlukan undang-undang kukuh dan melindungi,” katanya.

Anwar percaya majoriti rakyat juga resah dan benci dengan isu rasuah dalam negara, namun tidak dinafikan masih ada segelintir pihak yang mempertahankan salah guna kuasa dan rasuah kerana individu terlibat itu adalah daripada golongan berpengaruh dan berdarjat.

Justeru, Anwar berkata pelancaran NACS oleh beliau hari ini dengan kehadiran dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta menteri-menteri lain, sebagai tanda sokongan dan dukungan kepada SPRM untuk melaksanakan agenda pembanterasan rasuah.

“Saya percaya keluarga SPRM tahu bagaimana kadang-kadang mereka terpaksa hadapi serangan, tohmahan, malah (melibatkan) keselamatan kerana ‘pertarungan’ ini dahsyat.

“Sebab itu yang kita perlu ada ialah kesungguhan, tekad, keikhlasan untuk memerangi ini sebagai satu dasar yang perlu demi menyelamatkan negara dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

NACS merangkumi lima strategi melibatkan pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan dan insentif.

Mengulas mengenai strategi itu, Anwar berkata di bawah pendidikan, anak-anak di sekolah perlu dilatih untuk membenci rasuah dan penyalahgunaan kuasa, manakala dalam kalangan rakyat pula mesti ada program pendidikan yang meluas supaya ada kesedaran mengenai bahaya rasuah.

“Di bawah kebertanggungjawaban awam pula, ia bukan urusan SPRM atau Jemaah Menteri (semata-mata), ini urusan kita. Apakah kita mahu selamatkan negara kita atau biarkan? Saya (ucap) tahniah dan salute (tabik) kepada SPRM kerana ambil tindakan berani dan tegas.

“Strategi suara rakyat itu boleh membentuk dan mempengaruhi dasar dan memberi dukungan kepada pegawai-pegawai pelaksana,” kata Anwar.

Di bawah strategi penguatkuasaan, beliau berkata anggota penguat kuasa perlu berani, tegas dan memikul amanah dengan cekap.

“(Di bawah strategi ganjaran), saya tak nafikan beri ganjaran dan insentif yang sesuai supaya dalam melaksanakan pembanterasan ini, kita berikan ruang sama ada kepada pegawai, penjawat awam atau orang ramai yang memberikan kerjasama untuk menjayakannya,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan