EKONOMI

PENGUMUMAN MENGENAI PELABURAN GOOGLE DI MALAYSIA AKAN DILAKUKAN DALAM MASA TERDEKAT - TENGKU ZAFRUL

07/05/2024 11:42 AM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengesahkan satu pengumuman berkenaan pelaburan Google di Malaysia akan dilakukan dalam masa terdekat. 

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ia adalah susulan daripada pertemuan secara maya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama presiden dan ketua pegawai pelaburan Google, Ruth Porat serta beberapa lagi pengurusan kanan syarikat gergasi teknologi itu pada Isnin. 

“Saya dan Menteri Digital Gobind Singh Deo turut hadir dalam mesyuarat maya ini. Antara perbincangan adalah pelaburan di dalam negara kita yang akan diumumkan jumlahnya selepas diluluskan. 

“Saya difahamkan pengumuman ini akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas majlis makan malam meraikan delegasi Arab Saudi ke Malaysia  malam tadi. 

Antara isu lain yang dibincangkan adalah dari segi pertukaran kepakaran, reskilling and upskilling rakyat Malaysia dalam tiga sektor terutamanya pendidikan, agrikultur dan kesihatan, kata Tengku Zafrul. 

Kementerian Digital akan menyelaraskan penggunaan digital AI manakala dari segi pelaburan, MITI bersama-sama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang membuat persiapan akhir bersama Google, katanya.

Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sesi itu merupakan susulan daripada pertemuan mereka di Amerika Syarikat (AS) tahun lepas.

Beliau berkata ketika sesi tersebut Ruth memaklumkan  kemajuan rangka tindakan bidang yang boleh diperluaskan pihaknya di Malaysia berdasarkan penerangan sebelum ini oleh Perdana Menteri mengenai misi dan tumpuan kerajaan Malaysia.

Pada November 2023, kerajaan Malaysia dan Google mengumumkan kerjasama strategik untuk mewujudkan peluang pertumbuhan inklusif kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan syarikat tempatan dalam ekonomi digital yang sedang berkembang pesat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan