AM

MOHAMED KHALED ADAKAN LAWATAN RASMI KE TURKIYE JUN INI

06/05/2024 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan melakukan lawatan rasmi ke Turkiye pada Jun ini bagi meningkatkan lagi kerjasama strategik dari segi pertahanan antara kedua-dua negara.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu selepas Mohamed Khaled bertemu dengan Timbalan Menteri Pertahanan Turkiye Dr Celal Sami Tüfekçi di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini.

Semasa lawatan ke negara Mediterranean itu, Mohamed Khaled dijangka menandatangani beberapa perjanjian persefahaman dengan Turkiye melibatkan pembangunan industri pertahanan dan bidang ketenteraan kedua-dua negara.

Turut hadir pada pertemuan antara Mohamed Khaled dan Celal ialah Naib Presiden Industri Pertahanan Turkiye Ihsan Kaya.

Celal turut menzahirkan ucapan takziah kerajaan Turkiye susulan nahas membabitkan dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak yang mengorbankan 10 anggota pada 23 April lepas.

Kedua-dua helikopter bertembung di udara semasa Latihan Lintas Hormat Sempena Hari TLDM ke-90.

Mohamed Khaled juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen dan Menteri Pertahanan II Brunei Darussalam Mejar Jeneral (B) Datu Paduka Seri Awang Halbi Mohd Yussof.

Menurut Kementerian Pertahanan, Mohamed Khaled juga menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pertahanan Indonesia Lt Jen (B) Muhammad Herindra susulan lawatan beliau ke Indonesia minggu lepas.

Pertemuan itu, antara lain menyentuh kerjasama dalam kalangan anggota ASEAN yang disifatkan penting untuk kepentingan serantau selain membincangkan kerjasama keselamatan maritim dan darat dalam mempertahan kedaulatan kedua-dua negara agar terus diperkukuh.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan