AM

PENYERTAAN SYARIKAT AS IKTIRAF DSA DAN NATSEC 2024 - DUTA

06/05/2024 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Penyertaan kira-kira 30 syarikat berkaitan pertahanan serta keselamatan dari Amerika Syarikat (AS) di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini menunjukkan kepentingan pameran itu dan peranan Malaysia. 

“Sejak sekian lama AS telah mengambil bahagian, kami sangat gembira kerana pasukan AS yang hebat menyertai pameran ini. Saya berpendapat penyertaan mereka menunjukkan pengiktirafan terhadap kepentingan DSA yang bukan sekadar platform untuk melibatkan diri dengan Malaysia tetapi juga dengan rantau ini. 

“Anda juga akan lihat syarikat berkualiti tinggi sama ada menjalankan perniagaan di sini atau berhasrat mengusahakan perniagaan di sini…," kata Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D. Kagan selepas merasmikan Pavilion AS, di sini hari ini .

Kagan turut berbangga dengan peranan sektor pelaburan Amerika yang menyaksikan AS terus menjadi pelabur terbesar di Malaysia.

“Saya rasa itu memperlihatkan komitmen kami yang diterjemahkan menerusi pekerjaan untuk rakyat Malaysia, lebih 300,000 rakyat Malaysia bekerja di syarikat AS dan membayar dua kali ganda gaji purata kepada pekerja mereka.

“Pada pendapat saya ia menunjukkan bagaimana pelaburan itu memberi manfaat kepada Malaysia. Ia juga memberi faedah kepada kami dan rantaian bekalan global,” katanya.

Sementara itu, Kagan berkata lawatan Setiausaha Rendah Perbendaharaan AS untuk keganasan dan risikan kewangan Brian Nelson serta pasukannya ke Singapura dan Malaysia pada minggu depan merupakan sebahagian perbincangan berterusan dengan rakan kongsi utama mengenai kepentingan tindak balas global yang bersepadu terhadap ancaman yang serius.

“Saya tidak mahu membuat andaian terhadap perbincangan itu. Tetapi kita selalunya lebih terbuka dalam perbincangan yang merangkumi pelbagai isu.

“Tetapi apa yang boleh saya katakan pada hakikatnya kita sebenarnya berkongsi ancaman serta cabaran yang sama dan kita semua menyedari kepentingan masyarakat antarabangsa untuk berdiri bersama-sama berkaitan isu yang sangat penting untuk keselamatan kita semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan