JENAYAH & MAHKAMAH

KES TEMBAK PASIR MAS: EMPAT INDIVIDU SELESAI BERI KETERANGAN

06/05/2024 07:08 PM

KOTA BHARU, 6 Mei (Bernama) -- Polis selesai mengambil keterangan empat individu berhubung kes tembakan di Kampung Alor Pinggan di Gelang Mas, Pasir Mas, Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata motif kejadian masih disiasat bagaimanapun berdasarkan siasatan awal terdapat konflik antara suspek dan mangsa serta kedua-duanya saling mengenali. 

"Polis juga tidak menolak kemungkinan kes ini mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 peringkat kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.

Pada masa yang sama, Muhamad Zaki turut menyarankan dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes itu untuk menyerah diri bagi membantu siasatan.

"Sekiranya mereka cuba keluar atau melarikan diri melalui sempadan negara (sempadan Malaysia-Thailand), polis Kelantan boleh meminta bantuan pihak berkuasa Thailand untuk bekerjasama dalam kes ini sekiranya perlu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, dua suspek yang menaiki sebuah motosikal telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah rumah dan kenderaan mangsa di Kampung Alor Pinggan di Gelang Mas, Pasir Mas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan