AM

PELABURAN DALAM IDEA, SUMBER BAHARU BAGI TANGANI ANCAMAN KESELAMATAN BUKAN TRADISIONAL

06/05/2024 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pelaburan signifikan dalam idea, usaha dan sumber baharu penting untuk menangani ancaman keselamatan bukan tradisional dengan berkesan, menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ini kerana ancaman keselamatan bukan tradisional menuntut penyelesaian yang luar biasa.

“Kita mesti meningkatkan diplomasi pertahanan dengan memantau keadaan semasa dan memanfaatkan kelebihan yang ditawarkan teknologi baharu.

“Kita perlu bergerak ke arah mempercepatkan penyelesaian pertahanan yang kreatif dan berkesan menerusi penggunaan teknologi secara bertanggungjawab,” katanya dalam ucaptama Forum Putrajaya bertajuk Ancaman Bukan Tradisional dan Kemunculan Teknologi, hari ini.

Forum itu diadakan bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Ancaman keselamatan bukan tradisional ialah cabaran yang melangkaui tindakan ketenteraan termasuk  perubahan iklim, kekurangan sumber, penyakit berjangkit, bencana alam dan jenayah rentas sempadan.

Mohamed Khaled turut menekankan kepentingan membuat pelaburan terhadap generasi muda untuk menangani isu ancaman keselamatan bukan tradisional.

“Dengan minat dan kebiasaan mereka terhadap teknologi baharu, generasi muda boleh menawarkan pandangan dan perspektif baharu (dalam penyelesaian masalah),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia berada di landasan yang betul untuk menjadi hab serantau bagi pusat data apabila menarik pelabur terkemuka dengan komitmen bernilai berbilion ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kesemua pelaburan digital ini, bersama-sama dengan kerjasama pelbagai peringkat untuk memperkukuh pembinaan kapasiti kita di alam siber telah dilindungi oleh tadbir urus digital menerusi agensi dan akta yang berwibawa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan