EKONOMI

BURSA MALAYSIA ANJUR BURSA MARKETPLACE DI SABAH

06/05/2024 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd akan menganjurkan Bursa Marketplace Fair 2024 di Kota Kinabalu pada 11-12 Mei 2024, sekali gus merupakan acara pertama yang diadakan di Sabah dan Sarawak.

Acara itu yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor merupakan antara usaha berterusan Bursa Malaysia untuk mendorong celik kewangan menerusi pengetahuan dalam peluang pelaburan pelbagai jenis aset yang ditawarkan di bursa seperti saham, dana dagangan bursa, waran berstruktur, derivatif dan emas.

Bertemakan ‘Invest Today, Harvest Tomorrow,’ acara ini memenuhi keperluan pelabur di semua peringkat, menerusi ceramah dan libat urus untuk memberikan maklumat penting kepada pengunjung ke arah perancangan kewangan yang berkesan dan penciptaan kekayaan.

Acara itu juga akan menyediakan lebih 10 reruai termasuk oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan beberapa broker yang menyertai, dengan aktiviti dan permainan yang menyeronokkan.

Selain itu, dua syarikat tersenarai awam -- Keyfield International Bhd dan Optimax Holdings Bhd, akan melakukan pembentangan untuk berkongsi matlamat korporat dan rancangan pertumbuhan mereka.

Bursa Malaysia berkata, walaupun Sabah iaitu negeri ketiga paling ramai penduduk di Malaysia dengan lebih tiga juta orang, hanya kira-kira 30,000 golongan dewasa (kira-kira satu peratus daripada penduduk) telah membuka akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) untuk memanfaatkan peluang pelaburan dalam sekuriti yang ditawarkan oleh bursa.

"Ini menunjukkan pangkalan pelabur yang berpotensi besar, belum diterokai untuk Bursa Malaysia. Namun, apa yang lebih penting, keperluan untuk lebih ramai rakyat Sabah untuk memulakan atau mempelbagaikan saluran pelaburan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata menerusi program pendidikan serampang berbilang mata Bursa Malaysia seperti Marketplace Fair, bursa berharap acara itu akan meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Pada bulan lepas, kami menerbitkan Matlamat Pelabur Runcit Malaysia, yang memberikan maklumat bermanfaat kepada industri. Kami percaya segmen pelabur runcit akan terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan mudah tunai pasaran," katanya.

Marketplace Fair yang akan diadakan di pusat beli-belah Suria Sabah, adalah acara fizikal ketiga yang akan diadakan di luar Kuala Lumpur, berikutan edisi sebelumnya di Pulau Pinang (2019) dan Johor Bahru (2023). Pameran yang akan datang ini dijangka menarik kehadiran lebih 2,000 pengunjung.

Acara ini percuma dan terbuka kepada orang ramai dengan menawarkan hadiah kepada pengunjung.

Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian atau semasa program berkenaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Bursa Marketplace Fair 2024, layari https://www.bursamarketplace.com/bursa-marketplace-fair/.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan