AM

NEGERI SEMBILAN PERLU KEKALKAN SIFAR MISKIN TEGAR - TUANKU MUHRIZ

06/05/2024 03:13 PM

SEREMBAN, 6 Mei (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah sifar miskin tegar yang berjaya dicapai Negeri Sembilan pada penghujung tahun lepas perlu dikekalkan bagi memastikan tiada lagi kelompok itu di negeri ini.

Baginda bertitah kejayaan itu hasil kerjasama kukuh dengan Kerajaan Perpaduan yang membolehkan kerajaan negeri menunjukkan prestasi amat baik termasuk beberapa pencapaian cemerlang lain pada tahun lepas. 

“Beta gembira apabila Negeri Sembilan berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar pada penghujung tahun lepas. Beta difahamkan pencapaian ini melibatkan seramai 3,530 ketua isi rumah (KIR) di seluruh Negeri Sembilan. Pencapaian ini amat membanggakan dan perlu dikekalkan,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ke-15 di sini hari ini. Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Selain itu, baginda mahu supaya perhatian serius diberikan terhadap usaha meningkatkan ekonomi dan ilmu pengetahuan umat Islam di negeri ini sekali gus menjadikan masjid serta surau tempat untuk menyebarkan lagi syiar Islam.

“Ia bukan setakat bertujuan mendirikan solat, bahkan sebagai pusat perkembangan ilmu, penyebaran dakwah, pusat aktiviti sosial dan medan penyatuan ummah selain berperanan sebagai lokasi penganjuran pelbagai program kemasyarakatan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan dan persatuan,” titah baginda.

Bagi kelestarian pembangunan modal insan di Negeri Sembilan, baginda berpandangan kemajuan bidang pendidikan juga perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Sementara itu, titah baginda ekonomi negeri ini terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan ekonomi bagi tempoh 2021 hingga 2025 terus diunjurkan pada kadar 4.5 peratus setahun dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita dijangka mencapai RM46,534 bagi setiap penduduk.

Tuanku Muhriz bertitah prestasi pengurusan kewangan negeri juga amat menggalakkan apabila berjaya mengutip hasil RM541.42 juta berbanding anggaran RM450 juta sekali gus mengubah belanjawan defisit RM108.96 juta kepada surplus RM4.93 juta.

“Susulan daripada kutipan surplus ini, rizab negeri bagi Akaun Hasil Disatukan kini berada pada tahap yang amat baik iaitu sebanyak RM410.48 juta,” titah baginda.

Baginda turut bertitah pelaburan ke negeri ini pada tahun lepas juga mencatatkan pencapaian tertinggi iaitu RM10.1 bilion, melepasi sasaran awal dan mengatasi rekod tertinggi pernah dicapai dalam sejarah pentadbiran sebanyak RM8.9 bilion pada 2022.

Titah Tuanku Muhriz sektor pembuatan kekal sebagai sektor terpenting dengan sumbangan direkodkan sebanyak 75 peratus bersamaan RM7.6 bilion, manakala sektor perkhidmatan pula menyumbang 25 peratus atau RM2.5 bilion.

“Bagi menyokong pertumbuhan positif sektor pembuatan yang amat signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri, inisiatif pembangunan kawasan perindustrian baharu harus dipergiatkan supaya Negeri Sembilan terus kekal sebagai antara destinasi utama pelaburan di Malaysia,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut bertitah pembinaan pelabuhan kontena menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) membabitkan anggaran kos mencecah RM2 bilion di Pasir Panjang, Port Dickson yang dibiayai sepenuhnya pihak swasta pastinya menyokong ekosistem perindustrian di negeri ini.

Dalam pada itu, baginda berharap kerangka ekonomi MADANI akan terus dijadikan rujukan dalam mencorakkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini selain Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, serta Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan