AM

LEBIH 200,000 PENGUNJUNG MERIAHKAN PROGRAM MADANI RAKYAT ZON UTARA

05/05/2024 02:02 PM

GEORGE TOWN, 5 Mei (Bernama) -- Penganjuran Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini menerima sambutan luar biasa penduduk dari tiga negeri utara Semenanjung apabila mencatatkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung sepanjang tiga hari program itu berlangsung sejak Jumaat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata jumlah kehadiran itu sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu lebih 100,000 pengunjung.

“Jumlah kehadiran ini juga jauh lebih besar daripada kehadiran di Bukit Jalil. Ini sambutan luar biasa dari orang utara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup program berkenaan yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Beliau berkata sepanjang tiga hari program itu berlangsung, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengedarkan 3,000 topi keledar baharu kepada pengunjung dan berharap jumlah itu dapat ditambah pada program-program lain susulan mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

Menyentuh mengenai aspek pengangkutan, Loke berkata kerajaan sentiasa berusaha dan komited untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih baik dan sistematik untuk rakyat.

Beliau berkata sejak Februari 2023, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah meningkatkan kekerapan laluan KTM Komuter Utara Padang Besar-Butterworth dan laluan Butterworth-Padang Besar bagi memudahkan orang ramai berulang-alik.

“Untuk rancangan masa depan, Jemaah Menteri pada 22 Mac lepas telah meluluskan projek pembangunan LRT (Transit Aliran Ringan) Laluan Mutiara bagi memenuhi permintaan rakyat tempatan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 37,551 pelajar telah menerima peruntukan RM6,878,919.36 menerusi program FLYsiswa 2023, dengan 75 peratus daripada 50,095 pelajar yang layak telah menebus baucar digital.

“Saya harap semua pelajar boleh semak kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan untuk menerima bantuan itu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan