AM

HAWANA: LIMA WARTAWAN SARAWAK BAKAL TERIMA ANUGERAH APRESIASI PREMIER SARAWAK

04/05/2024 08:18 PM

KUCHING, 4 Mei (Bernama) -- Lima pengamal media Bumi Kenyalang bakal dinobat sebagai penerima Anugerah Khas Premier Sarawak sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang akan berlangsung di sini dari 25 hingga 27 Mei ini.

Tanpa mengulas lanjut kriteria bagi penerima anugerah itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak atau UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata ia akan diumum sewaktu acara kemuncak penyampaian Anugerah Tokoh HAWANA .

“Berita baiknya ada lima pengamal media Sarawak terpilih untuk Anugerah Apresiasi Premier Sarawak… kita juga ingin menyeru sokongan daripada Premier (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) untuk terus menyumbangkan dana untuk Anugerah Kewartawanan Kenyalang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Persidangan Media Sarawak 2024 dan HAWANA 2024 di sini hari ini. 

Mengulas mengenai pengisian program HAWANA, Abdullah berkata pengamal media khususnya dari luar Sarawak akan dibawa melawat beberapa lokasi ikonik sekitar ibu negeri seperti bangunan Dewan Undangan Negeri, Muzium Budaya Borneo dan Dataran Ibu Pertiwi sebagai tanda penghargaan kerana berkunjung ke Bumi Kenyalang.

“Kita ingin pastikan HAWANA yang diadakan di Bumi Kenyalang sebagai yang terbaik dan tetamu yang berjumlah lebih 300 warga media dari Semenanjung serta luar negara untuk terlibat dalam program lawatan ini bagi menunjukkan tahap tertinggi layanan baik untuk warga wartawan. 

“Kita mahu dedahkan kepada wartawan yang tidak pernah bertugas di Sarawak untuk mengetahui perkembangan bukan sahaja dari sudut pembangunan malah situasi terkini Sarawak yang agak berlainan berbanding dahulu,” katanya sambil menambah sejumlah 20 reruai dan pameran akan dibuka sempena penganjuran HAWANA 2024.  

Bertemakan '’Etika Teras Kewartawanan Mapan,' lebih 1,000 pengamal media, wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media dari negara anggota ASEAN turut dijemput menghadiri HAWANA 2024 yang merupakan platform penting untuk fraterniti media profesional dan pakar industri, bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.

Perhimpunan terbesar wartawan Malaysia itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah agensi pelaksana acara tahunan berkenaan.

Turut hadir bagi mesyuarat hari ini Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan