AM

BAWA ANAK, ISTERI CARI KERJA DI KARNIVAL KERJAYA PROGRAM MADANI RAKYAT 2024

04/05/2024 04:38 PM

GEORGE TOWN, 4 Mei (Bernama) -- Demi mencari pekerjaan tetap untuk menyara keluarganya, seorang peniaga buah-buahan dari Kulim, Kedah sanggup datang membawa isteri dan anak ke Karnival Kerjaya bersempena Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini hari ini.

Muhammad Rahimi Abdul Rahman, 33, berkata beliau keluar dari rumah seawal 7 pagi bersama isteri dan empat anaknya yang berumur antara tiga bulan dan tujuh tahun dengan menaiki kereta.

Beliau mahu mencari pekerjaan tetap dan stabil di karnival kerjaya itu memandangkan pendapatan hasil berniaga buah-buahan tidak tetap dan ada pasang surut. 

“Sebelum ini saya pernah bekerja tapi sudah berhenti lama dan saya berniaga. Sekarang, saya nak cari peluang kerja di kilang. Kerja berniaga tak menentu, kadang-kadang laku okey, kalau tak laku tiadalah duit.

“Kerja di kilang pendapatan memang tetap, ada caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) semua. Jadi, saya nak tampung keluarga, anak-anak dah mula bersekolah, saya harap dapat peluang kerja di sini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati pengunjung, terutamanya dalam kalangan anak muda ‘menyerbu’ karnival berkenaan yang memasuki hari kedua hari ini untuk merebut lebih 1,500 peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Sementara itu, pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran Siti Solehah Khalid, 40, dan Mohd Ronie Abdullah, 40, juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba nasib di karnival berkenaan yang turut menawarkan pekerjaan kepada golongan seperti mereka.

Siti Solehah, menerusi penterjemah berkata beliau datang bersama suami menaiki motosikal dari Butterworth dan mula beratur seawal 8 pagi bagi mendaftar masuk ke karnival berkenaan.

“Apa yang saya nampak di sini ada reruai yang menerima orang pekak, ada penerimaan di sini. Saya harap dengan adanya peluang yang terbuka macam ni kami golongan OKU akan mendapat pekerjaan hari ini.

“Selain berusaha dan yakin kami juga mencuba untuk mencari pekerjaan bagi kelangsungan hidup,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan