DUNIA

MICHELLE YEOH TERIMA PINGAT KEBEBASAN PRESIDEN DARI BIDEN

04/05/2024 12:09 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Bintang Hollywood dan pelakon terkenal Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh, telah menerima Pingat Kebebasan Presiden dari Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Jumaat.

Majlis yang diadakan di Rumah Putih pada Jumaat malam (3 Mei) waktu tempatan atau pada pagi Sabtu (4 Mei) di Malaysia, menandakan satu detik bersejarah apabila Yeoh menjadi pelakon Asia pertama yang menerima penghormatan tertinggi negara berkenaan.

Rumah Putih dalam pengenalannya menyifatkan Yeoh sebagai seorang daripada pelakon paling terkenal pada masa ini dan selama empat dekad telah memecahkan stigma dan stereotaip untuk membina kerjaya yang cemerlang sebagai salah seorang penghibur paling serba boleh di dunia. 

“Menjadi warga Asia pertama memenangi Anugerah Akademi (Oscar) sebagai Pelakon Wanita Terbaik, usahanya untuk memajukan kesaksamaan jantina, isu pemuliharaan dan kesihatan global telah dirasai di seluruh dunia.

"Sama ada sebagai penghibur atau perintis, Michelle Yeoh terus memperkaya budaya Amerika dan memberi inspirasi kepada kami untuk mempercayai kemungkinan dalam filem-filem dan seterusnya," katanya semasa Biden menganugerahkan beliau dengan Pingat Kebebasan Presiden.

Acara itu turut disiarkan secara penstriman langsung di laman Facebook The White House.

Kemenangan bersejarah Yeoh di Oscar pada tahun 2023 untuk peranannya dalam filem "Everything Everywhere All At Once" mengukuhkan statusnya sebagai pelopor dalam industri hiburan.

Beliau merupakan seorang penyokong vokal untuk pemuliharaan alam sekitar dan tujuan kemanusiaan, menggunakan platformnya untuk meningkatkan kesedaran dan mendorong perubahan positif pada skala global.

Selain pencapaian sinematiknya, usaha kebajikan Yeoh juga mendapat pujian meluas.

Yeoh sebagai duta pertukaran budaya dan persefahaman, menunjukkan nilai keterangkuman, empati dan daya tahan yang mentakrifkan semangat Pingat Kebebasan Presiden.

Selain Yeoh, 18 individu lain turut dianugerahkan penghormatan berprestij itu.

Mereka termasuk Ellen Ochoa, wanita Hispanik pertama di angkasa dan Jim Thorpe, atlet legenda juga Orang Asli Amerika pertama memenangi pingat emas Olimpik pada tahun 1912.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan