DUNIA

MENTERI LUAR MALAYSIA AKAN WAKILI PM ANWAR DI SESI KE-15 SIDANG KEMUNCAK OIC DI BANJUL, GAMBIA

03/05/2024 08:18 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia selaku wakil Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  ke Sesi Ke-15 Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Banjul, Gambia dari 4 hingga 5 Mei ini.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Jumaat berkata Mohamad dijangka akan menyampaikan Kenyataan Negara semasa Sidang Kemuncak itu, mengetengahkan pendirian dan pandangan Malaysia terhadap pelbagai isu yang menyentuh kepentingan umat Islam, termasuk situasi di Palestin dan Timur Tengah, Islamofobia, golongan minoriti Muslim dan kerjasama ekonomi.

Beliau juga akan menyentuh inisiatif-inisiatif yang diambil oleh Malaysia dalam memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan ummah. 

Wisma Putra berkata Penyertaan Menteri Luar di Sidang Kemuncak tersebut melambangkan usaha-usaha berterusan dan komitmen jitu Malaysia dalam memainkan peranan aktif di OIC. 

“Ia juga mempamerkan kesungguhan Malaysia untuk bersama-sama dengan Negara-Negara OIC dalam mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi oleh umat Islam,” katanya.

Menurut Wisma Putra, sidang kemuncak ini dijangka dihadiri oleh Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan serta wakil dari 57 buah Negara-Negara Anggota OIC

Sidang Kemuncak ini didahului dengan dua mesyuarat persediaan iaitu Mesyuarat Pegawai Kanan OIC dan Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri OIC yang masing-masing diadakan pada, 30 April hingga 1 Mei, dan 2 hingga 3 Mei ini, katanya.

Ia juga akan membincangkan isu-isu dan cabaran dalam bidang politik, sosio-ekonomi dan budaya yang dihadapi oleh umat Islam. 

Para pemimpin OIC dijangka turut bertukar pandangan mengenai isu-isu yang berbangkit dalam membincangkan tema Sidang Kemuncak iaitu “Meningkatkan Perpaduan dan Solidariti melalui Dialog untuk Pembangunan Mampan”. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan