AM

TUDUHAN PIHAK HINA ISLAM PERLU DIBUKTIKAN, SEBELUM BOIKOT - MUFTI PERAK

03/05/2024 05:44 PM

IPOH, 3 Mei (Bernama) -- Mufti Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh berkata tindakan menuduh sesuatu pihak yang dikatakan menghina agama Islam perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan boikot dilakukan ke atas pihak terbabit.

Beliau berkata satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya, atau "alqasdul jinaei" (criminal intent).

"Elemen ini tidak boleh dibuktikan melalui "syahadah" atau "direct evidence". la hanya boleh dibuktikan dengan pengakuan atau melalui kaedah pembuktian "qarainul ahwal" (bukti ikut keadaan - circumstantial evidence).

“Dengan demikian berasaskan kaedah kehakiman lslam, tuduhan menghina agama Islam (yang dilemparkan) terhadap pengurusan KK Mart tidak terbukti,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Pada 13 Mac lepas, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di sebuah cawangan KK Mart di Petaling Jaya, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna, yang menyebabkan ada pihak menggesa supaya umat Islam untuk memboikot rangkaian kedai serbaneka itu.

Pengurusan KK Mart kemudian memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah itu di beberapa cawangan kedainya.

Wan Zahidi berkata tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum tidak selari dengan ajaran Islam dan sunnah Rasulullah SAW. 

Beliau mengemukakan contoh Rasulullah SAW yang tidak pernah memboikot kaum Quraisy walaupun kaum itu memusuhi Islam.

Ditanya jika kenyataan beliau akan menimbulkan polemik, Wan Zahidi berkata beliau hanya menyampaikan apa yang diyakini dalam ajaran Islam. 

"Nak polemik itu terpulang pada masing-masing, kita ikut ajaran Allah, Rasulullah SAW, saya yakin dan saya wajib sampaikan," katanya dan menambah beliau mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan kenyataan kerana perlu membuat kajian dan rujukan mengenainya terlebih dahulu.

Sementara Wan Zahidi berkata tindakan dakwah Islamiah memerlukan suasana tenang dan damai serta hubungan yang harmoni antara kaum-kaum yang menganut pelbagai agama. 

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan