GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang mampu muncul sebagai hab emas negara memandangkan negeri ini mempunyai ramai pakar dalam industri emas dan barang kemas, menurut Persatuan Peniaga Emas Malaysia (FGJAM).
Presidennya Datuk Chiah Hock Yew berkata ketika ini lebih 80 peratus pengeluar dan kilang menghasilkan barang kemas serta emas berada di Pulau Mutiara itu.
"Saya harap mereka dari negeri-negeri lain dan luar negara dapat datang ke sini (Pulau Pinang) untuk mendapatkan latihan kerana kita ada ramai pakar dalam bidang barang kemas serta emas.
"Negeri ini juga mempunyai kemudahan menganjurkan pameran barang kemas malah pengilang di sini juga sering menghasilkan reka bentuk serta teknologi baharu," katanya pada sidang media di Pameran Perdagangan Emas dan Perak (PWGS) edisi kedua 2024.
Beliau berkata berdasarkan rekod pada tahun lepas eksport barang kemas seluruh negara bernilai RM6 bilion, manakala dua bulan pertama tahun ini sekitar RM313 juta dan 80 peratus adalah daripada Pulau Pinang dan China merupakan antara negara utama mengeksport barang kemas dari Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata PWGS 2024 akan berlangsung dari 31 Mei hingga 2 Jun di Pusat Setia Spice Konvensyen, Bayan Lepas dekat sini bakal disertai lebih 100 peserta dalam negara dan luar negara termasuk Singapura serta China.
Beliau berkata penganjur menyasarkan lebih 10,000 pengunjung dari seluruh negara seperti Indonesia, Hong Kong, Thailand dan Timur Tengah.
Pameran itu bertujuan sebagai penggerak utama dalam misi meletakkan Malaysia hab utama barang kemas di seluruh dunia dan meningkatkan daya saing industri barang kemas tempatan selain menjadi platform mempromosi pereka serta pengeluar tempatan di peringkat antarabangsa.
“PWGS juga mencerminkan komitmen Pulau Pinang bagi meningkatkan ekonomi usahawan dan menyediakan peluang untuk pihak berkepentingan dan pada masa sama mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial