KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melalui Bernama TV dan Bernama Radio hari ini menerima Anugerah Media MDA 2023 oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan atas komitmen cemerlang dalam mempromosikan MDA tahun lepas.
Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 MDA dan Majlis Anugerah Media 2023 di Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama Nur-ul Afida Kamaludin menerima anugerah bagi pihak Bernama TV manakala Ketua Penyiaran TV dan Radio Mohd Shukri Ishak mewakili Bernama Radio.
Dr Dzulkefly berkata Anugerah Media MDA diperkenalkan bagi menghargai sumbangan media yang menjadi medium perantara dengan rakyat dan membantu MDA memberi kesedaran umum tentang kepentingan peranti perubatan yang selamat.
“Tahniah saya ucapkan buat yang menang dan terima kasih buat seluruh komuniti media atas khidmat anda,” katanya pada majlis APC 2023 MDA dan Majlis Anugerah Media 2023.
Sementara itu, Nur-ul Afida berkata Bernama akan terus menghasilkan laporan dan pengisian program bagi membantu Kementerian Kesihatan amnya dan MDA khususnya, berkaitan kesedaran kesihatan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Bernama berasa gembira kerana dipilih mengungguli dua Anugerah Media MDA 2023 menerusi Bernama TV dan Bernama Radio.
“Saya percaya kemenangan ini berikutan pengisian dan sokongan Bernama menerusi program dan laporan berkaitan industri peranti perubatan di Malaysia,” katanya.
Mohd Shukri berkata Bernama TV dan Radio akan terus komited dan bekerjasama erat bersama Kementerian Kesihatan dan MDA dalam menyampaikan maklumat serta informasi terkini berkaitan kesihatan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Di Bernama TV dan Radio, menerusi siaran program semasa dan berita, kami sentiasa memberi ruang sebaiknya kepada Kementerian Kesihatan. Setinggi-tinggi penghargaan kepada MDA serta Kementerian Kesihatan atas Anugerah Media kepada Bernama TV dan Radio, satu penghargaan besar kepada komitmen penyiaran," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial