EKONOMI

TIBA MASA MALAYSIA LIHAT BIOJISIM JADI BAHAN MENTAH BAHAN API MAJU, INDUSTRI HIJAU - LIEW

03/05/2024 10:39 AM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Sudah tiba masanya bagi Malaysia menyaksikan biojisim berperanan sebagai stok suapan atau bahan mentah bagi bahan api baharu dan maju serta industri hijau lain, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Ketika berkongsi perkara itu, beliau turut menekankan bahawa sememangnya menjadi strategi kerajaan untuk meningkatkan sektor biojisim yang sering dilihat sebagai hasil sampingan industri minyak sawit.

“Sehubungan itu, anjakan minda (perlu) dan melihat biojisim sebagai pengupaya diperlukan bagi industri baharu dan dengan nilai tambah tinggi yang dapat membantu mencapai misi yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030," katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersempena satu sesi yang diadakan di MIDA Sentral, semalam.

Sesi yang menghimpunkan pihak berkepentingan utama daripada ekosistem biojisim, mengetengahkan usaha bersepadu dalam memacu pelaburan bernilai tinggi dan kemajuan ke arah matlamat Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih karbon menjelang 2050.

Malah, sesi itu turut mengetengahkan kesungguhan Malaysia menggalakkan pelaburan mampan dalam sektor biojisim yang penting bagi mencapai sasaran sifar bersih itu sepertimana digariskan Perjanjian Paris 2016.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menyentuh peranan agensi itu dalam memupuk persekitaran untuk memacu pertumbuhan industri biojisim di Malaysia.

“Sektor biojisim tidak hanya menyediakan peluang perniagaan menarik, namun berperanan penting dalam menyumbang kepada ekonomi kitaran untuk masa depan mampan.

“Berikutan itu, kita sedang berusaha untuk mempercepat penggunaan biojisim dan membantu kalangan komuniti menjadikan masa depan tenaga bersih sebagai satu kenyataan," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi MIDA Tan Sri Sulaiman Mahbob pula menyentuh trend pelaburan dan ketidaktentuan sektor biojisim sejak 2019 serta cabarannya.

Beliau berkata skop biojisim sawit misalnya adalah besar dan merangkumi tenaga boleh baharu, biobahan api, biokimia, bioplastik, biobaja serta banyak lagi.

“Namun, kita melihat aliran pelaburan dalam sektor biojisim yang tidak menentu sejak 2019 dan tidak mencapai sasaran RM10 bilion ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 

“Susulan itu, MIDA menyedari pentingnya usaha atau tindakan kolektif antara pihak berkuasa dan pihak berkepentingan terbabit serta pemain industri dalam menangani cabaran rantaian nilai biojisim. Ini termasuk kestabilan bahan mentah, mobilisasi dan mekanisme harga yang menjadi teras bagi menarik pelaburan jangka panjang," katanya.

Dalam pada itu, program yang disertai oleh 120 peserta mewakili pelbagai kementerian, agensi kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, sektor swasta, dewan perniagaan asing, institusi akademik dan institusi kewangan, bertujuan memangkin penggunaan teknologi biojisim di pelbagai industri.

Turut diketengahkan adalah pembentangan bertajuk ‘Pelaburan dan Prospek Biojisim Secara Menyeluruh’ dan ‘Trend Pasaran Biojisim Berasaskan Sawit’ yang menggariskan peluang dalam menarik pelaburan untuk produk biojisim bernilai tinggi seperti biogas dan biobahan api.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan