BERITA TERGEMPAR   Manufacturing sector increased by 1.9 per cent in 1Q 2024 after recording a contraction of 0.3 per cent in the previous quarter -- DOSM | 
 DUNIA

UJIAN MISIL TERKINI KOREA UTARA, BUKA MATA ASEAN UNTUK SEMAK SEMULA STRATEGI PERTAHANAN - PENGANALISIS

03/05/2024 12:36 AM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Biarpun negara anggota ASEAN bukan menjadi sasaran misil nuklear Korea Utara, ujian misil dengan muncung perang yang luar biasa besar dan misil antipesawat negara itu baru-baru ini  berpotensi untuk mengubah kedinamikan keselamatan rantau ini. 

Walaupun serangan terus Korea Utara ke atas ASEAN tidak mungkin terjadi, risiko misil-misil berkenaan melalui ruang udara atau perairan mereka tidak boleh diabaikan.  

“Dari segi pandangan kejuruteraan, ujian baru-baru ini menandakan peralihan besar dalam strategi nuklear Korea Utara,” kata  Moon Joo Hyun, seorang pensyarah kejuruteraan tenaga daripada Jabatan Kejuruteraan Nuklear Universiti Dankook, di Seoul dalam satu wawancara dengan Bernama menerusi e-mel.  

Dari segi pandangan geostrategi, ini mengundang kepada satu penilaian semula strategi pertahanan dan peredaan kumpulan blok serantau itu.  

Pada 20 April lepas media kerajaan Korea Utara (KCNA) berkata pentadbiran misil negara itu pada Jumaat  melaksanakan satu ujian kuasa ke atas muncung perang yang direka bentuk untuk peluru berpandu krus  strategik Hwasal-1 Ra-3 dan satu ujian pelancaran misil antipesawat Pyoljji-1-2.

Ia berkata ujian itu mencapai matlamat tertentu yang tidak dinyatakan, lapor media antarabangsa. 

Moon berkata ujian nuklear keenam itu dipercayai melibatkan senjata termonuklear, menandakan satu kemajuan yang mengejutkan.

Pendedahan mengenai muncung perang taktikal itu dan mekanisme penghantarannya bukan sahaja mengetengahkan kemajuan berterusan ketenteraan oleh Pyongyang tetapi juga meningkatkan lagi ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.  

Moon berkata perkembangan ini menekankan kepada pendekatan yang lebih sistematik terhadap pengeluaran besar-besaran senjata nuklear dan keupayaan mengatur kedudukan, memberi isyarat satu perkembangan besar dalam strategi ketenteraan.  

Sementara Korea Utara melancarkan misil itu untuk menimbulkan kemarahan Korea Selatan, Jepun dan AS, negara-negara Asia yang lain termasuk negara anggota  ASEAN, juga harus berwaspada.    

Mewujudkan sistem termaju untuk memantau dan menjejak aktiviti nuklear Korea Utara, digabungkan dengan kerjasama ketenteraan dan diplomatik masa nyata dengan kuasa utama seperti Korea Selatan, AS dan Jepun, penting untuk mengekalkan keselamatan serantau, kata Moon.

Dalam respons terhadap kemajuan yang berterusan, terdapat keperluan mendesak untuk pakar kejuruteraan teknologi nuklear untuk memainkan peranan penting dalam pasukan petugas  pelbagai negara yang melibatkan negara anggota ASEAN.

“Untuk mengelakkan program Korea Utara daripada menjadi lebih canggih, kawalan eksport yang ketat diperlukan untuk mencegah bahan utama untuk memelihara dan membangunkan program nuklear daripada memasuki Korea Utara.

Saya percaya negara ASEAN juga perlu mewujudkan dan melaksanakan dengan tegas sistem kawalan eksport di bawah rejim antarabangsa pengawalan senjata nuklear,” katanya. 

Moon juga berkata dalam konteks hubungan AS-Korea Selatan yang lebih luas, menubuhkan pasukan petugas yang menyasarkan untuk mengekang cita-cita nuklear Korea Utara adalah satu langkah strategi utama. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan