BERITA TERGEMPAR   Manufacturing sector increased by 1.9 per cent in 1Q 2024 after recording a contraction of 0.3 per cent in the previous quarter -- DOSM | Two policemen killed, one injured in shooting at Ulu Tiram Police Station, Johor Bahru early this morning - Johor Police Chief | Dua anggota polis maut dan seorang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi - KP Johor | 
 AM

MALAYSIA BERDEPAN 30,000 KEKURANGAN JURUTERA, PERLU TAMPUNG DENGAN TVET - PM

03/05/2024 12:09 AM

KOTA BHARU, 2 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan dipertingkat bagi menampung kekurangan 30,000 jurutera di negara ini.

Beliau berkata selain itu, menjadi tuntutan pada zaman sekarang untuk memberi tumpuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) supaya tidak ketinggalan.

"Saya menyebutnya di hadapan semua kepimpinan dalam negara apa kebimbangan kita mengenai nilai soal akhlak, soal entiti kita sebagai rakyat Malaysia dan soal budaya kita supaya dalam mempertahankan teknologi baru ini.

"Kita juga berupaya mempertahankan akidah dan akhlak kepada kefahaman agama kita," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Tahun 2024 Peringkat Negeri Kelantan Darul Naim di RTC Tunjong di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata teknologi AI juga akan diterap dalam kalangan pelajar di maahad tahfiz atau di TVET untuk menguasai ilmu baharu itu agar tidak ketinggalan.

Beliau berkata bagi merealisasikan usaha itu, syarikat Microsoft telah menyuarakan minat untuk turut melabur sebanyak RM10.5 bilion bagi pembangunan teknologi AI di Malaysia.

Anwar turut memberi jaminan bahawa kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus yang diumumkan semalam akan mendapat sokongan semua Ahli Parlimen.

"Saya fikir tiada masalah dalam meluluskan tambahan bagi kenaikan gaji penjawat awam berkuat kuasa 1 Dis ini.

"Ahli Parlimen mana yang mahu bangkang usaha kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam malah Kelantan juga sudah menyatakan sokongan dan memaklumkan ia adalah cadangan yang baik," katanya.

Semalam, Perdana Menteri berkata kenaikan itu merupakan usaha untuk mengimbangi pendapatan antara pekerja gred rendah dan tinggi.

Beliau berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang sedang diperinci, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan berbanding ketika ini yang menyaksikan jumlah pendapatan minimum meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam RM1,795 sebulan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan