BERITA TERGEMPAR   Manufacturing sector increased by 1.9 per cent in 1Q 2024 after recording a contraction of 0.3 per cent in the previous quarter -- DOSM | 
 SUKAN

PIALA THOMAS: KEKUATAN MENTAL KUNCI KEBANGKITAN KAMI - NUR IZZUDDIN

02/05/2024 11:24 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

CHENGDU, 2 Mei (Bernama) -- Kekuatan mental menjadi kunci kebangkitan semula beregu kedua negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang membawa Malaysia mara ke separuh akhir Piala Thomas 2024.

Sze Fei-Nur Izzuddin muncul wira apabila membantu Malaysia menyingkirkan Jepun 3-1 selepas berjaya melonjak semula daripada ketinggalan satu set ketika menentang Akira Koga-Taichi Saito dan menamatkan permainan dengan 18-21, 21-15, 21-12, sekali gus meraih mata kemenangan dan menyalakan semula harapan negara untuk menamatkan kemarau 32 tahun kejuaraan.

Mengetahui tugas rumit menanti di set kedua, Nur Izzuddin berkata mereka memberi lebih fokus kepada menguatkan mental dan akhirnya berjaya mengatasi lawan dalam kejohanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Hi-Tech di sini.

“Mungkin ketika kami ketinggalan, kami kembali cuba fokus pada mental kami,” katanya kepada pemberita di sini. 

Sementara itu perseorangan profesional Lee Zii Jia yang mengatasi Kenta Nishimoto dalam perlawanan pertama 21-13, 21-3, mengakui misteri ketiadaan pemain nombor empat dunia Kodai Naraoka meningkatkan keyakinannya untuk meraih mata pertama buat negara. 

"Saya agak terkejut ketiadaan Naraoka tetapi sebagai pemain profesional kami perlu bersedia dalam apa jua situasi. Jujurnya, Nishimoto banyak buat kesilapan mudah tetapi apa-apa pun saya gembira sebab dapat tamatkan perlawanan dengan cepat," katanya.

Dalam aksi beregu kedua, Aaron Chia mengakui lawan mereka Takuro Hoki-Yugo Kobayashi lebih baik dalam memanfaatkan peluang pada detik penting dan akhirnya beregu Jepun itu mengungguli 18-21, 21-14, 21-19.

Perseorangan kedua negara Leong Jun Hao yang menyumbang mata kedua buat Malaysia menyifatkan kemenangan straight set ke atas Koki Watanabe, 21-13, 21-10, sebagai aksi terbaiknya setakat ini dan berharap dapat mengekalkan momentum kemenangan itu jika beliau diturunkan pada separuh akhir berdepan China, Sabtu ini.

China mara ke separuh akhir selepas mengalahkan India 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir hari ini.

Kali terakhir Malaysia bertemu China, pasukan tuan rumah itu menang 3-0 dalam suku akhir edisi 2012 di Wuhan.

Edisi 2016 di Kunshan merupakan kali terakhir Malaysia melayakkan diri ke separuh akhir sebelum tewas di tangan Denmark 2-3.

Malaysia membuka perlawanan Kumpulan D dengan dua kemenangan besar 5-0 ke atas Hong Kong, Sabtu lepas dan Algeria pada Ahad, namun gagal menjuarai peringkat kumpulan setelah tewas 2-3 terhadap Denmark pada Selasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan